◉ HEADLINES

Jika kita ‘buang’ mereka, tinggal berapa kerat ahli Umno, soal Isham

Mereka akan lebih marah dan benci kepada Umno dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu

8:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil tidak bersetuju pemutihan dilakukan ke atas ahli parti itu disebabkan ada dalam kalangan mereka disyaki mengundi parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja menjejaskan bilangan ahli dan penyokong Umno di peringkat akar umbi tetapi membuatkan mereka lebih marah serta benci kepada parti berkenaan.

“Pada saya tidak perlu buat pemutihan ke atas ahli Umno, mereka bukannya perlu diputihkan (dibuang) oleh sebab mereka mengundi (atau disyaki mengundi) parti lain.

“Jika kita putihkan (buang) mereka, tinggal berapa kerat sahaja ahli dan penyokong kita di akar umbi. Mereka akan lebih marah dan benci kepada Umno dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebaliknya, Isham berkata, pimpinan Umno perlu mencari dan mengakui punca penyokong tegar parti selama ini protes dan menyokong parti lawan.

Malah katanya, punca kemerosotan sokongan itu juga perlu ditangani segera.

“Jika dahulu penyokong tegar kita menjadi perayu undi kepada penyokong atas pagar, saya lihat kini perayu undi kita pun sudah hilang kepercayaan dan perlu diyakinkan.

“Kita perlu yakinkan mereka dengan kebenaran dan keikhlasan, bukannya retorik dan spin politik. Penyokong tegar kita sudah lama dalam politik, mereka tahu menilai.

“Daripada “memutihkan” atau membuang mereka, sebaliknya kita perlu meyakinkan mereka semula berkenaan hala tuju dan perjuangan kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata sekiranya pimpinan Umno terus kekal dalam sindrom penafian, parti itu akan terkubur pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Jika kita tidak berubah di saat getir ini, kita akan tamat sebab kita tidak sedar diri walaupun kita sudahpun rebah.

“Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke PRU-16, ini yang mereka mahu, iaitu Umno hancur di tangan sendiri.

“Untuk bangun kita perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri dan merubah keadaan. Kita perlu ada keberanian untuk membawa perubahan ini,” katanya. – 14 Ogos, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia risks missing World Cup 2026 as pressure mounts for Free-to-Air broadcast deal

Analysts urge urgent government intervention to secure accessible coverage of the FIFA World Cup 2026, warning that cost barriers could sideline fans and weaken the nation’s football culture

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

◉ Related