◉ HEADLINES

Malaysia tidak iktiraf Hamas sebagai pengganas, sokong perjuangan rakyat Palestin: Anwar

Perkara itu bersandarkan kepada pendirian Majlis Keselamatan PBB yang mana melibatkan satu keputusan kolektif bersama negara lain

12:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mengklasifikasikan organisasi Hamas sebagai badan pengganas susulan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas yang diluluskan Kongres Amerika Syarikat, bagi menekan mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada Hamas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu bersandarkan kepada pendirian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mana melibatkan satu keputusan kolektif bersama negara lain. 


Katanya, bagi makluman Dewan Rakyat, sekiranya Majlis Keselamatan PBB mengklasifikasikan sesebuah entiti sebagai organisasi pengganas, Malaysia perlu meratifikasi pelaksanaan senarai sekatan (sanctions list) dalam penguatkuasaan undang-undang anti keganasan.

“Hamas tidak pernah diklasifikasikan sebagai entiti atau organisasi pengganas oleh Majlis Keselamatan PBB walaupun terdapat cadangan daripada negara-negara Barat untuk berbuat demikian.

“Kerajaan Malaysia adalah hanya untuk mengiktiraf sekatan diklasifikasikan Majlis Keselamatan PBB dan bukan sekatan sehala (unilateral sanctions),” katanya pada sesi jawapan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal (PN) berhubung pendirian kerajaan mengenai tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan, terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.

Anwar turut menegaskan Malaysia sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang penindasan dilakukan rejim Zionis yang sehingga kini sudah mengorbankan lebih 10,000 penduduk Palestin, dengan sebahagian besarnya kanak-kanak.

“Atas dasar dan prinsip kemanusiaan, kerajaan berpendirian teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin. Malaysia menolak penjajahan, dasar apartheid rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya penganiayaan, pembunuhan orang awam di Gaza atau di mana-mana.

“Soal hubungan dengan Hamas, Malaysia tidak hukum Hamas sebagai badan pengganas.

“Malaysia juga meneruskan perjuangan mendapatkan hak dan usaha memberi perlindungan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, menerusi perbincangan bersama negara yang sependapat serta melalui pertubuhan serantau dan antarabangsa, seperti di peringkat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Negara Islam (OIC)dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya. – 7 November, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

◉ Related