◉ HEADLINES

Kes tibi di Cheras bukan wabak, masih terkawal: Dr Zaliha

Terdapat beberapa kes tuberkulosis atau tibi di Cheras, Kuala Lumpur, namun secara keseluruhan jangkitannya dalam negara adalah terkawal

3:10 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku beberapa kes tuberkulosis atau tibi di Cheras, Kuala Lumpur, namun secara keseluruhan kes jangkitannya dalam negara adalah terkawal, kata menterinya Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, penyakit tuberkulosis di Malaysia sentiasa ada, bagaimanapun orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik kerana Bahagian Kesihatan Awam KKM sering memantau perkembangan jangkitannya.

“Bahagian Kesihatan Awam sedang melihat isu ini dan kita tak nak perkara yang tidak benar disebarkan, sebab kita tak nak nanti orang ramai jadi panik. Tuberkulosis memang ada, cuma ia dalam kawalan.

“Kita kena galakkan pesakit, kalau ada apa-apa tanda tentang penyakit itu khusunya batuk berterusan, terus pergi dapatkan rawatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Minggu Kesedaran Kerintangan Antimikrob Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata rakyat boleh mendapatkan maklumat jumlah kes tuberkulosis yang berlaku di kawasan mereka menerusi aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri akan mengeluarkan kenyataan perkembangan terkini penyakit tuberkulosis dalam masa terdekat.

Antara simptom utama penyakit tuberkulosis ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

Terdahulu ketika berucap pada program berkenaan, Dr Zaliha berkata, pendekatan komprehensif secara One Health diperlukan bagi membendung penyebaran Kerintangan Antimikrob (AMR-Antimicrobial Resistance).

Katanya, AMR tidak hanya memberi impak kepada kesihatan manusia tetapi juga merangkumi kesihatan haiwan, tumbuhan dan alam sekitar.

Katanya, Malaysia giat memerangi AMR melalui pendekatan One Health dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerintangan Antimikrob Kebangsaan (NARC) pada 2017.

“Jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar ini memainkan peranan penting dalam mengawasi dan menyelaras strategi serta aktiviti berkaitan pembendungan AMR.

“Ini termasuk program kesedaran dan pendidikan, pemantauan dan penyelidikan, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta pengawalan penggunaan antimikrob yang bersifat munasabah,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Zaliha juga melancarkan Pelan Tindakan Kerintangan Antimikrob Malaysia (MyAP-AMR) 2022-2026, yang turut merangkumi sektor kesihatan alam sekitar dan tumbuhan.

“Pelan tindakan baharu ini berazam untuk menyusun program antimicrobial stewardship (AMS) yang berjaya dan mampan di kedua-dua kemudahan penjagaan kesihatan awam dan swasta, serta dalam sektor kesihatan haiwan,” katanya. – 18 November, 2023

Topics

 

◉ Hangat

PKR wants Aminuddin Harun retained as Negri MB: Anwar

PKR wants Datuk Seri Aminuddin Harun to be retained as Negri Sembilan Menteri Besar if the Pakatan Harapan-Barisan Nasional alliance wins the state elections next month.

Testing secrets, or trade restraint? Dispute over oilfield tech ends with quiet withdrawal

Intertek’s Malaysian unit alleged ex-staff misused proprietary water monitoring system, but defendants argued “Sidestream” method was common industry practice

Delay in action may create racial issue, says family rep of student made to stand under sun for hours

Police, MoE have not made any meaningful progress in probe when a similar case involving Indian teacher abusing Malay child in May was already solved, spokesperson highlighted

◉ Related