◉ HEADLINES

Lagi desakan batal konsert Coldplay, penganjurannya boleh undang kemurkaan Allah

Menurut PUM, penganjuran konsert itu bertentangan dengan hukum syarak dan berbaur hedonism

5:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mendesak penganjur membatalkan serta-merta konsert kumpulan rock popular Britain, Coldplay yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu depan kerana bertentangan dengan hukum syarak.

Pemuda PUM, Muhammad Alihanafiah Norasid berkata, penganjuran konsert tersebut juga disifatkan berbaur hedonisme yang jelas melalaikan umat Islam dan rakyat Malaysia, lantaran jauh daripada norma dan tatasusila tempatan.

“PUM mendesak agar konsert Coldplay ini dibatalkan serta-merta. PUM menyelar sekeras-kerasnya penganjuran konsert ini yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

“Kemungkaran yang tidak dicegah akan menjemput bala bencana yang tidak hanya ditimpakan ke atas orang yang zalim dan pelaku dosa semata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, konsert itu juga dilihat tidak sensitif kerana penganjurannya diadakan ketika rakyat Palestin sedang berdepan penindasan rejim Zionis.

“Penganjuran konsert ini diadakan ketika rakyat Palestin sedang diganyang rejim Zionis Israel tanpa belas kasihan

“Hiburan melampau ini mengheret rakyat Malaysia khususnya anak muda agar tidak sensitif dengan jenayah kemanusiaan dan korban jiwa yang terus meningkat.

“Harga tiket konsert yang ditempah menjadi galang ganti kepada kemusnahan, penindasan, dan genosid di Palestin khasnya di Semenanjung Gaza,” katanya.

Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Luqman Abdullah menasihatkan penganjur agar tidak meneruskan konsert Coldplay kerana menyifatkan ia melalaikan serta tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Untuk makluman, sebanyak 85,000 tiket konsert sulung Coldplay di Malaysia laris terjual apabila dibuka pada Mei lalu.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1997 itu dianggotai Chris Martin, Jonny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion.

Mereka cukup popular dengan rantaian lagu hit seperti Fix You, Yellow dan A Sky Full Of Stars. – 19 November, 2023

Topics

 

◉ Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related