◉ HEADLINES

Fahmi akan jumpa Meta isu WhatsApp digodam scammer

Isu penipuan itu satu trend yang membimbangkan

6:59 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform Meta minggu depan berhubung isu akaun WhatsApp yang diambil alih penjenayah ‘scammer’.

Beliau yang menyifatkan isu penipuan itu sebagai satu trend yang membimbangkan berkata, secara peribadi beliau sendiri telah menerima aduan daripada beberapa individu mengenai akaun WhatsApp mereka ‘dicuri’ oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Susulan aduan itu, CyberSecurity Malaysia telah mengeluarkan satu amaran mengenai bahaya akaun WhatsApp diambil alih oleh penjenayah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat Putrajaya oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini hari ini.

“Pertemuan akan diadakan dengan pihak Meta yang mengendalikan WhatsApp untuk memahami apakah aspek keselamatan yang ada pada waktu ini kurang cukup dan dapat dieksploitasi oleh para penjenayah,” katanya, dan menambah insiden pengambilan akaun sebelum ini berlaku pada aplikasi Telegram.

Fahmi berkata, mulai tahun depan CyberSecurity akan merancakkan program Jelajah Anti-Scam sebagai usaha meningkatkan kesedaran orang awam tentang isu keselamatan siber dan langkah pencegahan, agar orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Bila kerajaan berupaya untuk mengekang satu bentuk scam maka para scammer ini sangat lincah dan berubah ke scam yang berbeza. Jadi perlu tingkat pemahaman dan kesedaran dari semasa ke semasa tentang bentuk scam yang baharu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Fahmi berkata, Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 di bawah pengurusan CyberSecurity merekodkan penipuan dalam talian sebagai insiden keselamatan siber yang tertinggi dilaporkan.

“Daripada 5,480 kes insiden yang diterima pada Januari hingga November lepas, 3,447 kes insiden atau 63 peratus berkaitan penipuan dalam talian,” katanya.

Seperti negara-negara lain, katanya Malaysia juga tidak terkecuali daripada menghadapi ancaman dan serangan siber.

“Walaupun pelbagai langkah telah diambil, namun masih tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan atau bebas sepenuhnya daripada ancaman dan serangan siber,” katanya.

Justeru, katanya Program Jelajah Anti-Scam diadakan sepanjang tahun merupakan satu inisiatif untuk memberi informasi dan maklumat bagi mendidik serta memupuk kesedaran orang ramai tentang jenayah kewangan dan scam.

Program Jelajah Anti-Scam, yang diterajui oleh CyberSecurity selaku agensi pakar dan teknikal keselamatan siber yang juga agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), meliputi seminar, forum dan dialog yang melibatkan pakar-pakar keselamatan siber.

Penganjuran program Jelajah Anti-Scam 2023 peringkat Putrajaya merupakan edisi terakhir siri penjelajahan bagi tahun ini selepas diadakan di beberapa negeri antaranya Selangor dan Kuala Lumpur, Perlis, Sarawak, Sabah serta Kelantan. – 7 Disember, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Penang Sukma rugby player dies after collapsing during training in Kulim

A 21-year-old Penang Sukma rugby player died after collapsing during a training session in Kulim, with police classifying the case as a sudden death pending further investigations and a post-mortem examination

PM congratulates national team on 2026 Sepak Takraw World Cup quadrant event victory

Malaysia lifted the inaugural quadrant trophy after defeating India 2–0 in the 2026 Sepak Takraw World Cup final last night at Titiwangsa Stadium here

◉ Related