◉ HEADLINES

Nurul Ain sedih lihat Masjid Omari musnah dibom tentera Israel

Kemusnahan masjid itu memberi kesan emosi kepada dirinya kerana ia antara lokasi pernah dilawatinya sewaktu menjejakkan kaki ke Gaza pada 1 Oktober lalu

9:43 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Nurul Ain Haron, 37, rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Khan Younis, Gaza sebelum ini, sedih apabila mengetahui Masjid Omari iaitu masjid tertua dan terbesar di wilayah terkepung itu musnah dibom tentera Israel, kelmarin.

“Sedih yang amat. Satu-satunya masjid yang saya harap akan dapat bertahan, tetapi malangnya ianya (musnah) dibom,” katanya menerusi hantaran di Facebook, awal pagi tadi.

Menurutnya, kemusnahan masjid itu memberi kesan emosi kepada dirinya kerana ia antara lokasi pernah dilawatinya sewaktu menjejakkan kaki ke Gaza pada 1 Oktober lalu.

Nurul Ain bersama suaminya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu – Abdul Razak Latif/Scoop, 9 Disember, 2023

“Terima kasih ya Allah kau persembahkan kepadaku banyak tempat yang indah sebelum ianya hancur.

“Alhamdulillah berkesempatan juga solat di masjid ini,” katanya.

Masjid Omari juga dikenali sebagai Masjid Agung Omari merupakan masjid terbesar dan tertua di Semenanjung Gaza.

Tapak asal masjid itu digunakan oleh Byzantine untuk mendirikan sebuah gereja pada abad kelima Masihi sebelum ditukar menjadi masjid selepas penaklukan umat Islam pada abad ketujuh (Masihi).

Keadaan Masjid Agung Omari yang merupakan masjid terbesar dan tertua di Semenanjung Gaza ketika ia masih utuh – Gambar media sosial, 9 Disember, 2023

Berdasarkan rakaman dan imej yang tular di media sosial, masjid tersebut kini hanya tinggal sisa runtuhan kecuali sebahagian menaranya sahaja yang masih kelihatan utuh.

Susulan serangan itu, Al-Jazeera dalam laporannya menyatakan, Hamas menggesa Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) untuk melindungi bangunan bersejarah di Gaza itu.

Dalam pada itu, Nurul Ain meminta orang ramai supaya terus berdoa untuk keselamatan rakyat Palestin.

“Insya-Allah semuanya akan okey dalam masa terdekat. Teruskan berdoa untuk rakyat di Gaza,” katanya.

Berdasarkan rakaman dan imej yang tular di media sosial, masjid tersebut kini hanya tinggal sisa runtuhan kecuali sebahagian menaranya sahaja yang masih kelihatan utuh – Gambar media sosial, 9 Disember, 2023

Sebelum ini, Nurul Ain terkandas selama 42 hari di Khan Younis, Semenanjung Gaza, sebelum dibenarkan keluar melalui sempadan Rafah.

Dia berada di Khan Younis sejak 1 Oktober lalu untuk menziarahi keluarga mentua, namun terperangkap apabila perang meletus pada 7 Oktober.

Pasangan itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu.

Mereka berjaya dibawa keluar melintasi sempadan Rafah dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Mesir dan Kementerian Luar pada 12 November lalu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 310 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam antara kelmarin dan semalam di Semenanjung Gaza dalam serangan udara terbaharu yang dilancarkan rejim Zionis.

Kira-kira, 17,500 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober lalu dengan majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Malah, dianggarkan 46,000 lagi cedera akibat konflik berdarah itu. – 9 Disember, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia suffers RM2.7bil losses from online scams in 11 months, reveals CCID

Bukit Aman’s Commercial Crime Investigation Department highlights telecommunications and e-commerce fraud as the biggest culprits in rising cybercrime figures

Thai oil giant pulls plug on Lang Lebah as Petronas-Petros feud looms large

Once dubbed Malaysia’s ‘project of the year’, Sarawak offshore project now faces an uncertain future amid budget blowouts and state-federal oil disputes with US$1 billion cost overrun

Jaya Grocer invests RM100 million in Malaysia’s first automated grocery warehouse

Jaya Grocer announces its largest investment yet, a state-of-the-art automated warehouse in Selangor, set to revolutionize supply chain efficiency, create high-skilled tech roles, and support Malaysia's digital economy

◉ Related