◉ HEADLINES

Mana ‘black and white’… sehingga hari ini masih belum ada: pemilik Perodua Bezza

Nagakanni berkata, penyelesaian Perodua adalah untuknya membeli kereta kedua dengan cara memohon semula pinjaman kereta kedua

12:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemilik kereta Perodua Bezza yang rosak selepas lapan jam dibawa pulang ke rumah mendakwa, syarikat automotif itu tidak pernah menawarkan solusi secara ‘hitam putih’ berhubung kaedah untuk menyelesaikan isu dihadapinya.

Nagakanni Subramaniam, 31, berkata, ia berkaitan jaminan dan perjanjian bertulis sama ada kereta yang rosak enjin itu akan dibeli balik dan dia tidak perlu membayar pinjaman kereta berkenaan.

Meskipun mengambil maklum Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) sudah menjawab isu dihadapinya, kerani sekolah itu berkata, pihak terbabit masih belum mengeluarkan maklumat terperinci mengenainya walaupun masalah itu sudah berlarutan lebih dua bulan.

Malah, katanya, dia mahu membetulkan sedikit fakta mengenai kenyataan Perodua yang memaklumkan penyelesaiannya adalah untuknya membeli kereta kedua dengan cara memohon semula pinjaman kereta kedua.

“Isunya mudah. Saya beli kereta dengan Perodua, enjin rosak kononnya sebab ada benda asing seperti gula. Saya tak dapat replacement (ganti) kereta baru. Saya masih kena bayar kereta itu setiap bulan.

“Kalau betul Perodua kata nak beli kereta saya, silakan. Tapi mana black and white (perjanjian bertulis) itu? Sehingga hari ini saya masih belum ada.

“Jangan buat kenyataan media hanya untuk redakan suasana tapi sebenarnya tak selesaikan pun masalah saya. Saya nak penyelesaian, bukan nak cari gaduh atau viral,” katanya menerusi hantaran di Facebook, lewat malam tadi.

Semalam, Perodua memberi jaminan kepada pelanggan terbabit untuk mengutamakan kes kerosakan Perodua Bezza yang baharu dibelinya.

Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Roman Jaafar berkata, syarikat itu menafikan pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Terdahulu, Nagakanni meluahkan kekecewaan apabila kenderaan itu yang diambilnya dari pusat jualan, rosak hanya selepas lapan jam dibawa pulang ke rumah.

Lebih menyedihkan, apabila dia terpaksa membayar ansuran berjumlah RM537 untuk kereta dibelinya pada Oktober tahun lalu itu, walaupun kenderaan terbabit masih ‘tersadai’ di pusat servis.

Katanya, dia mengambil kereta itu di sebuah pusat jualan pada 17 Oktober lalu, kira-kira jam 11 pagi, tetapi lapan jam kemudian iaitu 7.40 malam ketika mahu menghidupkan kenderaan terbabit, ia gagal dihidupkan.

Nagakanni berkata, keesokannya kereta itu terpaksa ditunda ke pusat servis dan mekanik di situ memaklumkan enjin kenderaannya sudah rosak.

“Pada hari sama, iaitu 18 Oktober, saya minta pihak syarikat itu untuk ganti kereta baru. Saya diminta menunggu keputusan dari ibu pejabat Perodua yang memerlukan waktu dua minggu hingga satu bulan.

“Pada 9 November 2023, seorang kakitangan di bahagian jualan dari ibu pejabat syarikat itu hubungi saya, memaklumkan menurut penyiasatan awal, enjin kereta saya rosak sebab ada benda asing seperti gula. Dia kata material terbabit tak digunakan Perodua.

“Masalahnya, saya pun tak bawa apa-apa makanan atau gula dalam tempoh lapan jam tu, apatah lagi nak usik enjin,” katanya.

Nagakanni berkata, pada 15 November, kakitangan sama memberitahu dia perlu melakukan pinjaman sekali lagi untuk mendapatkan kereta baru.

“Saya kata saya boleh buat hanya lepas dia settlekan loan (selesaikan pinjaman) lama saya dulu sebab sehingga hari ni, saya masih bayar loan kereta itu.

“Pada 4 Disember pula, kakitangan juga minta dokumen dari saya untuk membuat pinjaman kedua. Saya tolak permintaan tu sebab pinjaman pertama saya masih belum selesai.

“Empat hari kemudian, khidmat pelanggan beritahu bahawa proposal final (akhir) belum dipersetujui dan Perodua sedang selidik kesilapan dalaman atau kata lain, mereka belum boleh bagi black and white approval (kelulusan) untuk tukar kereta saya dengan kereta baru,” katanya. – 4 Januari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related