◉ HEADLINES

Eloklah Sanusi dengar teguran Mursyidul Am PAS, jaga mulut, tak cetus kontroversi

Nik Nazmi berkata, dakwaan Sanusi tidak berasas dan jelas menunjukkannya cuba kekal relevan

5:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat cuba menyebarkan berita palsu untuk kekal relevan selepas mendakwa Perikatan Nasional (PN) mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) mencukupi bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Sanusi sepatutnya mendengar teguran Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin terhadapnya supaya menjaga mulut dan tidak mencetuskan kontroversi.

Menurutnya, dakwaan Sanusi jelas tidak berasas apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.

“Melalui penafian daripada Ketua Pembangkang, jelaslah Sanusi cuba menyebarkan berita palsu untuk kekal relevan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Sanusi mendakwa pembangkang sudah mempunyai jumlah SD yang cukup untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu tidak memaklumkan secara terperinci mengenai perkara berkenaan termasuk jumlah SD yang diperolehi.

“Cukup sudah (jumlah SD) semua, tunggu hari sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, sebagai pembangkang, sudah masanya PN fokus dalam memainkan peranan semak imbang terhadap kerajaan.

“Kerajaan hari ini memiliki majoriti dua pertiga dan dipilih secara sah melalui pilihan raya.

“Malah permuafakatan ini bukan sahaja mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia juga selari dengan hasrat baginda untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

“Hari demi hari, bulan demi bulan, kisah ini didendangkan semata-mata untuk menjual mimpi kosong kepada Ahli Parlimen dan penyokong PN,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut mengingatkan Ahli Parlimen PN supaya fokus mentadbir negeri dipimpin mereka dan menjadi pembangkang yang berkesan di peringkat Persekutuan.

“PN wajib berhenti membuat kacau-bilau dengan bermain isu sentimen agama dan kaum semata-mata,” katanya. – 9 Januari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

RM200m World Cup rights fee puts Malaysia’s 2026 viewing at risk

Malaysia could miss live coverage of the 2026 FIFA World Cup as a steep RM200 million broadcasting fee strains Astro and RTM, raising doubts over whether fans will be able to watch football’s biggest tournament

More than 100 Foodpanda riders protest over low wages at company headquarters

New Google Maps-based system forces riders to make more deliveries to make ends meet

◉ Related