◉ HEADLINES

‘Percepatkan kelulusan projek PJD Link, kekalkan jajaran asal’: Penduduk Taman Medan

Jika jajaran dialihkan luar daripada Petaling Jaya, kesesakan trafik masih berterusan dan akan menjejaskan aktiviti harian penduduk Taman Medan terutamanya pada waktu puncak

11:52 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan menggesa kerajaan Selangor dan pihak berkuasa berkaitan agar mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).

Wakil gabungan itu, Mohamed Dollah berkata, projek itu juga perlu dikekalkan pada jajaran asal untuk memberi manfaat yang maksimum kepada penduduk di kawasan sekitarnya.

Katanya, jika jajaran dialihkan luar daripada Petaling Jaya, kesesakan trafik masih berterusan dan akan menjejaskan aktiviti harian penduduk Taman Medan terutamanya pada waktu puncak.

“Sudah bertahun-tahun lamanya kesesakan ini menjejaskan aktiviti harian kami, terutamanya perjalanan ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah. Kesesakan ini bertambah buruk disebabkan ramai pengguna melalui Jalan Kelang Lama menghala ke Puchong dan Lebuhraya KESAS.

“Disamping itu, kami juga terpaksa mengharungi kesesakan untuk ke Petaling Jaya kerana Jalan Templer dan Jalan Gasing padat dengan kenderaan. Selain itu, pembangunan komersil dan hartanah baru di taman ini menjadikan keadaan di sini semakin tenat, ditambah pula dengan kenderaan berat yang menggunakan jalan tersebut.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan Selangor dan pihak berkuasa berkaitan untuk mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek PJD Link. Kami bersatu padu dalam menyokong inisiatif penting ini dan berharap agar ia dapat direalisasikan demi kebaikan komuniti dan rakyat Selangor secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ilustrasi jajaran asal mengikut cadangan pemaju PJD Link. – Gambar PJD Link, 18 Mac, 2024

Kenyataan tersebut dikeluarkan mewakili hampir 50,000 penduduk daripada Persatuan Penduduk Blok M, Jalan PJS 1/21; Persatuan Penduduk Blok E, Medan Cahaya; Persatuan Penduduk Blok F, Medan Cahaya; Persatuan Penduduk Blok A dan Pangsapuri Permai.

Terdahulu, bercakap kepada Scoop, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, projek pembinaan PJD Link tidak dibatalkan, namun ditangguh bagi membolehkan kajian semula jajaran dijalankan terutama di kawasan Petaling Jaya.

Katanya, buat masa ini kerajaan negeri belum membuat apa-apa keputusan lanjut berkaitan PJD Link.

“Keputusan kerajaan negeri simple (mudah)… perlu kaji semula jajarannya terutama di kawasan PJ (Petaling Jaya),’’ katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed berkata, bantahan terhadap projek itu seperti dilaporkan di media massa sebelum ini hanyalah bantahan oleh beberapa pihak dengan ada yang menuntut jajarannya diubah.

Bagaimanapun, katanya, penduduk Taman Medan menyokong sepenuhnya projek tersebut dan sebulat suara mengalu-alukan projek infrastruktur penting itu yang bakal memberi manfaat kepada mereka.

“Kami berpendapat bahawa sokongan kami terhadap projek infrastruktur seperti PJD Link perlu disuarakan kerana yang dilaporkan di media massa hanyalah bantahan oleh beberapa pihak.

“Projek PJD Link yang diuar-uarkan beberapa tahun lepas, memberi harapan kepada penduduk di sini yang mana ia dijangka dapat menyelesaikan isu kesesakan di Taman Medan dengan menyuraikan trafik, menaiktaraf jalan raya serta infrastruktur di kawasan sekeliling.

“Penambahbaikan ini secara langsung dapat meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di Taman Medan,” katanya. – 18 Mac, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Harimau Malaya’s wage disparities: a closer look at local vs naturalised player income divide

Salaries for footballers have become a hot topic in the Malaysian football community, as foreign players consistently earn more than local players in their respective clubs.

Government allocates RM5.9b for AI innovation: MCMC to lead national transformation drive

Malaysia is making a major push into the artificial intelligence era, with nearly RM6 billion allocated to strengthen research, development, and innovation in emerging technologies

Could Ronaldinho lace up again? Ravenna move sparks comeback rumours

Serie C club set to clarify deal involving the former Barcelona star in Miami

◉ Related