◉ HEADLINES

Jawatankuasa khas kaji pembatalan 16 seksyen Kanun Jenayah Syariah Kelantan bersidang selepas Ramadan

Ahli jawatankuasa telah dilantik dan akan bersidang bagi meneliti serta membincangkan isu berkenaan

9:09 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang ditubuhkan bagi mengkaji semula 16 seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan bulan lalu akan bersidang selepas Ramadan.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, ahli jawatankuasa yang dilantik itu akan bersidang bagi meneliti dan membincangkan isu berkenaan.

“Kita baru menubuhkan Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah dan melantik ahlinya. Kita akan melihat bagaimana untuk menilai keadaan semasa berhubung perkara ini.

“Setakat ini ahli jawatankuasa itu masih belum bersidang sebab bulan puasa, mungkin selepas ini (Ramadan),” katanya seperti dilaporkan media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik sempena Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Petronas di Kota Bharu, malam tadi.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohamed Fadzli meminta rakyat di Kelantan agar melaksanakan solat hajat, selain berdoa berikutan musim kemarau melanda negeri itu.

“Sebelum ini kita pernah buat solat hajat apabila berlaku kemarau berpanjangan dan insya-Allah, kita akan lakukannya lagi kerana dalam Islam pun solat hajat itu sebagai ikhtiar,” katanya.

Sebelum itu, beliau turut mengumumkan tiada pemberian bonus untuk penjawat awam di Kelantan pada Aidilfitri tahun ini.

Katanya, ini kerana bantuan khas kewangan penjawat awam Kelantan telah diberi pada November lepas iaitu sebanyak RM2,000 oleh Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang dianggap sebagai ‘bonus raya’.

“Bantuan itu dibayar bulan lepas jaraknya agak dekat dengan tarikh Aidilfitri dan boleh digunakan oleh penjawat awam untuk raya.

“Kita amat menghargai penjawat awam sebagaimana Kerajaan Pusat. Kalau keadaan ekonomi semakin baik, InsyaAllah saya rasa kerajaan boleh fikirkan inisiatif bantuan lain selepas ini,” katanya. – 27 Mac, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Harimau Malaya’s wage disparities: a closer look at local vs naturalised player income divide

Salaries for footballers have become a hot topic in the Malaysian football community, as foreign players consistently earn more than local players in their respective clubs.

Government allocates RM5.9b for AI innovation: MCMC to lead national transformation drive

Malaysia is making a major push into the artificial intelligence era, with nearly RM6 billion allocated to strengthen research, development, and innovation in emerging technologies

Could Ronaldinho lace up again? Ravenna move sparks comeback rumours

Serie C club set to clarify deal involving the former Barcelona star in Miami

◉ Related