◉ HEADLINES

Isytihar harta: Tempoh mana daripada 43 tahun ini penting untuk siasatan? Mokhzani, Mirzan tanya SPRM

Menurut mereka, kebanyakan dokumen sudah tidak lagi boleh didapati terutama daripada institusi kewangan dan juga sektor awam

2:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menentukan ‘had’ tempoh paling penting yang ada kaitan dengan siasatan mereka, dalam perintah mengisytihar harta diperoleh selama 43 tahun ini.

Dalam kenyataan bersama, Tan Sri Mokhzani dan Mirzan Mahathir menegaskan, ia pastinya akan membantu mereka mengumpulkan maklumat dan dokumen diperlukan untuk mengisytihar harta kepada suruhanjaya berkenaan.

“Memandangkan kami dikehendaki mengisytiharkan aset yang diperoleh selama tempoh 43 tahun dan disebabkan kekurangan rekod maklumat selama tempoh tersebut, ia akan banyak membantu kami sekiranya pihak SPRM boleh menentukan tempoh masa yang paling penting bagi siasatan mereka,” kata mereka hari ini.

Menurut mereka, kebanyakan dokumen sudah tidak lagi boleh didapati terutama daripada institusi kewangan dan juga sektor awam.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) contohnya hanya memerlukan pembayar cukai untuk menyimpan rekod yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun dan begitu juga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Walaupun begitu, kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengumpulkan dokumen-dokumen ini tetapi ada yang hampir mustahil untuk diperoleh memandangkan ia tidak lagi wujud,” jelas mereka.

Mokhzani dan Mirzan turut menyelar sindiran yang menyatakan bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa kerana kekayaan yang terlalu banyak.

“Ini tidak benar sama sekali,” tegas mereka.

Dalam pada itu, kedua-dua mereka amat menghargai lanjutan masa yang diberikan oleh SPRM ke atas notis yang telah diserahkan pada Januari lalu di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Walau bagaimanapun dakwa kedua-duanya, mereka bukan berada di bawah siasatan SPRM, tidak seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.

“Perintah notis yang diberikan kepada kami adalah sebagai ‘anak’ kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Kami memahami bahawa keseluruhan siasatan ini adalah untuk menentukan sama ada bapa kami (Dr Mahathir) telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk memperkayakan kami.

“Kami menyangkal serta menolak tuduhan ini dan ingin membuktikan bahawa apa sahaja yang kami perolehi selama ini adalah melalui cara yang sah, menggunakan saluran yang betul dan tanpa melibatkan sebarang aktiviti jenayah,” tegas mereka.

Hari ini Scoop melaporkan, tempoh perintah mengisytihar harta kepada Mirzan dan Mokhzani sekali lagi dilanjutkan sebulan lagi.

Dengan lanjutan yang diluluskan, tempoh sehingga 15 Mei diberikan kepada Mirzan, manakala Mokhzani (25 Mei).

Namun sumber memberitahu Scoop, ia berkemungkinan lanjutan yang terakhir diberikan kepada kedua-dua anak bekas Perdana Menteri itu.

“Ada beberapa pertimbangan tempoh itu dilanjutkan. Probably (kemungkinan) ini yang terakhir,” katanya. – 27 April, 2024

Topics

 

◉ Hangat

PM congratulates national team on 2026 Sepak Takraw World Cup quadrant event victory

Malaysia lifted the inaugural quadrant trophy after defeating India 2–0 in the 2026 Sepak Takraw World Cup final last night at Titiwangsa Stadium here

Non-malays frustration and anger – William Leong Jee Keen

Non-Malay dissatisfaction with PMX and PH is understandable, yet William Leong stresses that abstaining from voting risks surrendering the nation’s future. He argues that reforms, though imperfect, are still vital to protect Malaysia’s democratic path

MRT Corp awards RM3.03b Penang Mutiara Line systems contract to MRCB-Theta Edge JV

The appointment of the System Turnkey Contractor marks the next major phase of the Penang Mutiara Line, allowing railway systems design to progress in tandem with ongoing civil works

◉ Related