◉ HEADLINES

Harimau belang cuba melintas mati dirempuh di Lebuhraya KLK

Harimau jantan itu dianggarkan berusia empat tahun dengan berat sekitar 130 kilogram

10:37 PM MYT

 

KUANTAN – Seekor harimau belang dilaporkan mati dipercayai dilanggar sebuah kereta di Kilometer 50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah barat awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang Rozidan Md Yasin berkata kejadian berkenaan dikatakan berlaku sekitar 1.23 pagi. 

“Harimau jantan itu dianggarkan berusia empat tahun dengan berat sekitar 130 kilogram.

“Berdasarkan jangkaan awal harimau belang itu datang dari kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi sebelum kejadian tersebut berlaku,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya bangkai haiwan liar itu telah diambil oleh pihaknya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, pengendali KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataan memaklumkan pemandu kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu berada dalam keadaan selamat.

Menurut syarikat konsensi itu pihaknya telah mengambil langkah segera untuk menangani isu tersebut bersama polis dan Perhilitan bagi memastikan keselamatan semua. 

“Beberapa langkah segera telah diambil termasuk membersihkan lokasi kejadian, mengalihkan bangkai harimau dan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya. 

“Kami sangat memahami kepentingan melindungi spesies yang terancam seperti harimau, dan komited untuk memastikan keselamatan serta pemuliharaannya,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, ANIH berharap masyarakat dapat bersama-sama dalam usaha mencegah kejadian serupa dan meningkatkan keselamatan ketika pemanduan agar dapat membantu pemuliharaan haiwan terancam berkenaan demi manfaat bersama dan generasi akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata siasatan awal polis mendapati pemandu kenderaan terbabit merupakan warganegara tempatan berusia 25 tahun dalam perjalanan menghala ke Seremban, Negeri Sembilan dari Sungai Koyan, Raub. 

“Apabila (pemandu terbabit) tiba di KM 50.6 KLK, tiba-tiba seekor harimau belang telah melintas dari arah kanan ke kiri jalan. Pemandu kereta yang tidak sempat mengelak dan memberhentikan kenderaannya, telah melanggar harimau belang tersebut,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaaan, bagaimanapun kenderaannya mengalami pelbagai kerosakan di bahagian hadapan akibat insiden itu. – 16 Mei, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related