◉ HEADLINES

Kerajaan tidak lanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing: Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tempoh yang diberikan itu dianggap munasabah dan hebahan mengenainya dibuat lebih awal

4:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang berakhir pada 31 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tempoh yang diberikan itu dianggap munasabah dan hebahan mengenainya dibuat lebih awal.

Malah, katanya majikan mempunyai masa yang mencukupi bagi menguruskan apa yang diperlukan.

“Pengumuman tarikh akhir untuk pekerja asing (Bangladesh) dibawa masuk (ke Malaysia) telah pun dihebahkan lebih awal iaitu tarikh akhirnya ditetapkan pada 31 Mei.

“Ketika tarikh itu ditetapkan, kita telah mengambil kira semua proses maknanya bermula dari kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan visa dan atur tiket yang bagi kita tempoh 31 Mei adalah tempoh munasabah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Lawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ke Penjara Seberang Perai, di Pulau Pinang, hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial dipercayai dirakamkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menunjukkan Terminal 1 dan 2 sesak dengan kumpulan yang dikatakan pekerja asing yang baru tiba.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh ketika mengulas mengenainya berkata, kadar peningkatan kemasukan pekerja asing itu disebabkan tindakan majikan yang membawa masuk pada saat akhir menjelang 31 Mei ini.

Menurutnya, sebagai perbandingan, dalam keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500 hingga 1,000 orang dan mula meningkat sehingga 2,500 orang sehari pada 22 Mei lalu dan 4,000 hingga 4,500 sehari pada 27 Mei.

Berikutan itu, media tempatan melaporkan permohonan daripada Bangladesh agar Malaysia membenarkan masuk hampir 17,000 pekerja Bangladesh yang mempunyai visa kerja yang diluluskan, namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk tiba di Malaysia dengan melanjutkan tempoh kemasukan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kemasukan pekerja asing telah mencecah sasaran keperluan tenaga asing bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan manakala bagi sektor perladangan dan pertanian, kerajaan akan memproses mengikut kelulusan kuota yang sedia ada buat masa ini tanpa melibatkan kelulusan baharu dan berdasarkan kes. – 4 Jun, 2024

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

◉ Related