◉ HEADLINES

Jual RON95 kepada warga asing, pengusaha stesen minyak di Melaka berdepan denda RM1 juta

Seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 melalui transaksi OPT iaitu pembayaran melalui kad prabayar untuk membeli minyak berkenaan

4:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka bertindak menyerbu sebuah stesen minyak di Alor Gajah, Melaka, kelmarin, selepas disyaki menjual petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing, dipercayai dari negara jiran.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, tindakan itu dilakukan susulan tular rakaman memaparkan seorang individu menaiki kenderaan berpendaftaran negara asing mengisi petrol bersubsidi yang menimbulkan pelbagai reaksi negatif pelayar media sosial, baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan video tular itu, KPDN Melaka bertindak pantas menjalankan siasatan terhadap sebuah stesen minyak di kawasan Alor Gajah yang menjual petrol bersubsidi kepada warga asing.

“Hasil pemeriksaan sepasukan pegawai penguat kuasa, satu kesalahan disyaki telah dilakukan oleh premis stesen minyak di Mukim Sungai Baru Ulu, Pekan Masjid Tanah, Alor Gajah, kira-kira jam 4.35 petang, 16 Jun lalu.

“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 melalui transaksi OPT (outdoor payment terminal) iaitu pembayaran melalui kad prabayar untuk membeli minyak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norena menambah, tindakan kes diambil selaras dengan arahan yang dikuatkuasakan pada 17 Jun 2022 yang melibatkan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan termasuk motosikal yang bernombor pendaftaran asing.

Katanya, perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Jika disabit kesalahan, pengusaha stesen minyak boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan dengan itu, KPDN Melaka memberi amaran keras kepada semua pengusaha stesen minyak agar mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa manakala kepada pengguna, kita mengalu-alukan sebarang aduan berkaitan salah laku seperti ini melalui medium yang telah disediakan,” katanya. – 19 Jun, 2024

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

National Hockey Stadium: PSM restricts concerts to just two in April to prepare for Nations Cup

The shows will help cover the refurbishment costs for the facility

◉ Related