◉ HEADLINES

Genre, strategi pemasaran punca Abnormal Buas kurang dapat sambutan

Begitupun, Eksekutif Produser Abnormal Buas mengakui ia tidak mematahkan semangat mereka untuk menerbitkan dua lagi filem bagi melengkapkan triloginya

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Genre yang kurang diminati serta kesilapan dari sudut percaturan strategi pemasaran digital antara penyebab filem Abnormal Buas arahan Allahyarham Azhari Zain gagal mendapat sambutan peminat filem tempatan.

Bercakap kepada Scoop, Eksekutif Produser Abnormal Buas, Shahriman Wahap berkata, filem itu mengetengahkan genre aksi thriller dan kebiasaannya genre sebegini memang belum dapat diterima masyarakat penonton secara meluas.

“Hasilnya, Abnormal Buas kurang mendapat sambutan yang begitu baik seperti mana filem-filem tempatan lain di pawagam.

“Bagaimanapun kita menerima ketentuan ini kerana sudah dapat menjangkakan penerimaan penonton terhadap filem ini. Kita memang sudah sedia menerima risikonya awal lagi.

“Apa yang penting, kita sudah dapat merealisasikan impian untuk menghasilkan sebuah genre filem yang berbeza dengan apa yang pernah ada di pasaran,” katanya.

Eksekutif Produser Abnormal Buas, Shahriman Wahap berkata, genre aksi thriller yang belum dapat diterima masyarakat di Malaysia antara punca Abnormal Buas kurang mendapat sambutan di pawagam. – Gambar PR, 2 Julai, 2024

Menurut Shahriman, kesilapan daripada sudut percaturan strategi pemasaran juga menyebabkan promosi filem ini gagal menjadi tular di platform media sosial khususnya TikTok.

“Kami bergantung sepenuhnya dengan pemasaran digital untuk mempromosikan filem ini. Akan tetapi, kami terlupa dan terlepas pandang bahawa TikTok mempunyai regulasi tertentu yang mana babak keterlaluan serta perkataan seperti ‘buas’ dan ‘ganas’ tidak boleh digunakan.

“Disebabkan itu, beberapa sedutan promosi filem ini gagal dapat sambutan di TikTok, bahkan turut disekat selepas beberapa kali perkongsian. Kami akur dengan kesilapan ini dan ia pasti akan menjadi proses pembelajaran yang berguna di masa akan datang,” katanya.

Biarpun begitu Shariman mengakui, pihaknya tidak akan patah semangat untuk terus menghasilkan filem-filem baharu.

Malah mereka juga akan tetap menerbitkan dua lagi filem Abnormal Buas iaitu prekuel dan sekuelnya untuk melengkapkan trilogi filem ini, apatah lagi ia sudahpun diadaptasi ke dalam bentuk novel.


Biarpun gagal mendapat sambutan, namun perancangan untuk membuat prekuel dan sekuel Abnormal Buas akan diteruskan bagi melengkapkan trilogi filem itu. – Gambar PR, 2 Julai, 2024

“Perancangan untuk menerbitkan dua lagi filem Abnormal Buas ini akan tetap diteruskan sebab adakalanya sesuatu filem itu mungkin belum boleh diterima pada masa sekarang.

“Tetapi, akan datang, baru ia boleh diterima iaitu setelah trilogi siap sepenuhnya. Sebab, masyarakat kita sudah diajar dengan budaya untuk tidak bersabar. Mereka tidak boleh menunggu untuk menghayati sebuiah filem yang berfikir, cerita yang sulit atau menonton filem yang slow burner.

“Bukan salah mereka juga kerana itulah budaya TikTok sekarang ini. Hanya swipe sekali mereka sudah boleh mendapat banyak kandungan cerita atau informasi,” katanya.

Mengulas mengenai status tayangan Abnormal Buas yang diklasifikasi 16 di pawagam ketika ini, Shariman berkata, ketika mula ditayangkan secara rasmi pada 22 Jun lalu, ia ditayangkan sebanyak 70 pawagam.

“Selepas seminggu, jumlah tayangan berkurang daripada 70 kepada 20 pawagam. Mungkin ada juga yang menunggu gaji keluar untuk menonton filem ini. Jadi, kami harap dalam waktu ini, ada peningkatan terhadap kutipan filem Abnormal Buas,” katanya. – 2 Julai, 2024

Topics

 

◉ Popular

PM congratulates national team on 2026 Sepak Takraw World Cup quadrant event victory

Malaysia lifted the inaugural quadrant trophy after defeating India 2–0 in the 2026 Sepak Takraw World Cup final last night at Titiwangsa Stadium here

Non-malays frustration and anger – William Leong Jee Keen

Non-Malay dissatisfaction with PMX and PH is understandable, yet William Leong stresses that abstaining from voting risks surrendering the nation’s future. He argues that reforms, though imperfect, are still vital to protect Malaysia’s democratic path

MRT Corp awards RM3.03b Penang Mutiara Line systems contract to MRCB-Theta Edge JV

The appointment of the System Turnkey Contractor marks the next major phase of the Penang Mutiara Line, allowing railway systems design to progress in tandem with ongoing civil works

◉ Related