◉ HEADLINES

Isu sumbangan syarikat arak: Gerakan sedekah bola tanggung kepada PAS

PAS akan dilihat lebih tegas dalam memperjuangkan isu sensitif berbanding Umno yang tidak berani menentang sekutunya, DAP

8:05 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS akan dilihat sebagai juara dalam isu derma syarikat arak kepada sekolah jika bertegas menyingkirkan Gerakan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kerana tidak senada dalam isu tersebut.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Madya Azmi Hassan berkata, ini kerana PAS akan dilihat lebih tegas dalam memperjuangkan isu sensitif berbanding Umno yang tidak berani menentang sekutunya, DAP.

“Dalam isu ini, Gerakan sedekah bola tanggung kepada PAS.

“Ia menjadi senjata kepada PAS untuk menjuarai isu ini bagi PN dengan Gerakan sebagai kambing hitam,” katanya kepada Scoop.

Prof Madya Azmi Hassan berkata, isu sumbangan derma itu hanyalah isu kecil dan boleh diselesaikan dengan mudah dalam PN namun jika Gerakan sudah membuat ugutan untuk meninggalkan PN, ia bermakna parti itu sememangnya ada niat untuk berbuat demikian – Gambar Bernama, 31 Julai, 2024

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang memaklumkan tidak mustahil sekiranya parti itu tidak bersama dengan Gerakan pada PRU16.

Katanya, PAS kecewa dengan pendirian dan kenyataan Gerakan yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Terdahulu media melaporkan, Gerakan senada dengan DAP supaya syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang untuk memberi dana kepada sekolah aliran Cina.

Presidennya, Datuk Dominic Lau mendakwa, ini kerana sekolah aliran Cina selama ini tidak diberikan dana mencukupi oleh kerajaan Pusat untuk beroperasi.

Jelas beliau, segala fasiliti dan kemudahan yang disifatkan terbaik yang dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini adalah hasil sumbangan dana pihak luar bukan sahaja daripada syarikat besar, malah golongan peniaga kecil dan penjaja.

Susulan itu, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong memberi amaran kepada PAS bahawa parti itu tidak akan teragak-agak untuk keluar PN jika tindakan itu bermakna mempertahankan pendidikan sekolah aliran Cina.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, isu sumbangan derma itu hanyalah isu kecil dan boleh diselesaikan dengan mudah dalam PN.

Namun katanya, jika Gerakan sudah membuat ugutan untuk meninggalkan PN kerana mempertahankan tindakan mereka, ia bermakna parti itu sememangnya ada niat untuk berbuat demikian.

“Pada saya ia isu kecil dan boleh diselesaikan sesama mereka. Jika mereka beri ugutan, maksudnya mereka memang nak keluar.

“Cuma ketika ini mereka hanya menunggu masa dan sebab yang sesuai untuk keluar daripada PN,” katanya.

Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ancaman isu kerjasama sebelum dan selepas pilihan raya adalah perkara sinonim dalam politik negara – Gambar UiTM, 31 Julai, 2024

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ancaman isu kerjasama sebelum dan selepas pilihan raya adalah perkara sinonim dalam politik negara.

Justeru katanya, masih terlalu awal untuk berbicara mengenai Gerakan akan meninggalkan PN disebabkan tidak senada dengan pendirian rakan gabungan dalam PN.

“Ini adalah politik. Politik adalah bentuk mencari satu ideologi kesaksamaan dalam kalangan parti tidak tidak kira PN, Pakatan Harapan (PH) dan mana-mana gabungan politik.

“Maka setiap parti gabungan akan mencari kesaksamaan itu dan ideologi berteraskan kepentingan masyarakat dengan mengambil kira kerangka Rukun Negara sebagai asas utama.

“Inilah cabaran dalam gabungan parti politik untuk membentuk ideologi kesaksamaan dan kebersamaan ini secara mutlak dalam membentuk satu gabungan lebih dihormati masyarakat dan memenangi hati rakyat” katanya. – 31 Julai, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related