◉ HEADLINES

Polis tunggu laporan perubatan pelajar tidak sedarkan diri dipercayai akibat vape

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata ia bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut berhubung isu tersebut

2:57 PM MYT

 

MARANG – Polis Terengganu sedang menunggu laporan perubatan penuh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Kemaman yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai menghisap rokok elektronik atau vape, bulan lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata ia bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut berhubung isu tersebut.

“Kalau ikut laporan begitulah (pelajar tersebut tidak sedarkan diri kerana menghisap rokok elektronik), tetapi kita kena lihat laporan doktor (perubatan) terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Terengganu 2024 di Dewan Terbuka Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Payong di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Razman Setapa.

Media melaporkan baru-baru ini seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kemaman ditemui tidak sedarkan diri di pekarangan sekolahnya dipercayai setelah menghisap rokok elektronik jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khairi berkata polis sentiasa mengadakan kerjasama dengan pihak sekolah bagi memantau sebarang gejala negatif dalam kalangan pelajar termasuk penggunaan rokok elektronik dan buli.

“Polis di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) setiap hari melawat sekolah di seluruh negeri untuk dapatkan maklumat bukan sahaja berkenaan vape tetapi apa sahaja seperti buli dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha membanteras penggunaan rokok elektronik di kalangan pelajar memerlukan kerjasama semua pihak terutama ibu bapa dalam memantau aktiviti harian anak-anak mereka.

Sementara itu,  Mohd Khairi berkata pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Terengganu Tahun 2024 pada hari ini menggambarkan pentingnya penglibatan penduduk setempat terutama suri rumah yang boleh menjadi ‘mata dan telinga’ polis dalam menangani ancaman jenayah.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira  200 pegawai dan anggota skuad Amanita di seluruh Terengganu dan kehadiran pasukan tersebut sejak ditubuhkan pada 2013 dilihat mampu mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

“Kehadiran skuad Amanita di kawasan perumahan seperti di PAKR Bukit Payong ini juga dapat memberikan tips terutama kepada suri rumah tentang cara menghindari jenayah,” katanya. – 3 Ogos, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia suffers RM2.7bil losses from online scams in 11 months, reveals CCID

Bukit Aman’s Commercial Crime Investigation Department highlights telecommunications and e-commerce fraud as the biggest culprits in rising cybercrime figures

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

◉ Related