◉ HEADLINES

Cegah obesiti: Wajibkan penjawat awam berisiko, umur 40 tahun ke atas, jalani pemeriksaan kesihatan

Hanya peserta yang menunjukkan penurunan positif berat badan, boleh dibebaskan daripada program intervensi itu

6:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Langkah mewajibkan penjawat awam menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala menerusi program intervensi khas, harus dilaksanakan bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan kakitangan itu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, program itu harus ditetapkan kepada semua penjawat awam, terutama mereka yang berisiko tinggi menghidap pelbagai penyakit diakibatkan obesiti.

“Dalam memastikan langkah kawalan berat badan dilaksanakan, kami (Cuepacs) berpandangan langkah mewajibkan penjawat awam melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala boleh dilakukan, terutama kepada pekerja lingkungan umur 40-an yang menunjukkan tanda obesiti.

“Program kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) boleh dilakukan, bagi mengawal dan memantau kumpulan penjawat awam yang mempunyai masalah obesiti,” katanya.

Datuk Adnan Mat berkata, Cuepacs menolak dakwaan mengatakan masalah kegemukan berlebihan atau obesiti disumbangkan penjawat awam semata-mata – Gambar Bernama, 4 Ogos, 2024

Adnan berkata, hanya peserta yang menunjukkan penurunan positif berat badan, boleh dibebaskan daripada program intervensi itu.

“Namun, mereka tetap perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan kembali ‘bermasalah’ (obesiti),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Cuepacs menolak dakwaan mengatakan masalah kegemukan berlebihan atau obesiti disumbangkan penjawat awam semata-mata.

Menurutnya, ia kerana situasi itu adalah permasalahan individu, antaranya berpunca daripada sikap tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

Namun, Adnan bersetuju supaya masalah obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini, termasuk penjawat awam diambil berat, agar ia tidak menjadi perkara yang dinormalisasikan.

“Isu kegemukan rakyat Malaysia perlu diberi perhatian lebih serius oleh semua pihak kerana perkara terbabit tidak sepatutnya dinormalisasikan.

“Masalah berat badan berlebihan bukanlah perkara baharu di Malaysia dan tidak hanya membabitkan penjawat awam sahaja,” katanya.

Cuepacs melihat masalah obesiti dalam kalangan masyarakat lebih disebabkan kepada tabiat pemakanan dan gaya hidup individu terbabit yang tidak sihat. Gambar sekadar hiasan – Azim Rahman/Scoop, 4 Ogos, 2024

Ujarnya, Cuepacs melihat masalah obesiti dalam kalangan masyarakat lebih disebabkan kepada tabiat pemakanan dan gaya hidup individu terbabit yang tidak sihat.

“Individu obesiti dan berlebihan berat badan berisiko menghidap penyakit seperti diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan sakit jantung,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mendedahkan masalah berat badan berlebihan membelenggu 50 peratus daripada penjawat awam.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penjawat awam untuk menjalankan pelbagai aktiviti sihat sebagai usaha memperoleh tahap kesihatan lebih baik.

Mengikut rekod, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 dijalankan KKM menunjukkan, sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan.

Rekod itu meningkat empat peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019. – 4 Ogos, 2024

Topics

 

◉ Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related