◉ HEADLINES

Ahmad Zahid beri bayangan Umno tak tanding solo PRU-16 ‘teruskan konsep perkongsian kuasa’

Beliau berkata, sebaliknya yang menjadi penentu kepada kemenangan Umno adalah pengundi di luar parti itu yang jauh lebih ramai jumlahnya serta lebih besar peratusannya

1:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umno akan meneruskan konsep perkongsian kuasa seperti diamalkan sehingga kini dalam memastikan kelangsungan parti itu mendepani perubahan landskap politik semasa.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli-ahli parti itu semata tidak akan mampu memenangkan Umno.

Beliau berkata, sebaliknya yang menjadi penentu kepada kemenangan Umno adalah pengundi di luar parti itu yang jauh lebih ramai jumlahnya serta lebih besar peratusannya.

Malah, Ahmad Zahid turut mengingatkan ahli Umno yang mana parti itu bukan lagi parti dominan seperti suatu ketika dulu.

“Dengan penegasan tentang konsep perkongsian kuasa yang ditunjangi Umno sehingga kini, kita akan meneruskan pelayaran bahtera perjuangan ini untuk mara ke hadapan.

“Jika sebelum ini kita mengambil pendekatan `go solo’, adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa?

“Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada?

“Dengan pertambahan pengundi baharu pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, Umno mesti keluar dari `echo chamber’ atau zon selesa dan berani berdepan dengan idea-idea baharu dan perspektif yang beragam supaya tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks.

“Landskap politik semasa menyaksikan tiada satu parti atau gabungan menguasai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, yang memerlukan Umno memilih dinamika politik baharu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli Umno supaya tidak terbuai dengan fitnah dan tohmah pihak lawan sehingga menanam kesangsian sesama sendiri.

“Ketepikan titik bengik (hal remeh) dalam kalangan kita … di cawangan selesaikan masalah cawangan, di bahagian selesai cara bahagian … dalam MKT, selesai cara MKT, yang masalah di bawah sebab di atas ni.

“Pemilihan parti lama lagi, menang pilihan raya dulu, bentuk kerajaan dulu … tiada di atas kalau tiada dukungan di bawah.

“Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti,” katanya. – 23 Ogos, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

◉ Related