◉ HEADLINES

Tidak ada kerajaan jatuh kerana bantu rakyat, sebaliknya rasuah punca utama: PM

Anwar berkata, kerajaan jatuh kerana rasuah, penyelewengan tamak haloba, pimpinan kaut harta yang bukan hak mereka. Itu yang menyebabkan negara tumbang

6:50 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha kerajaan dalam membantu rakyat khususnya golongan yang memerlukan sama sekali tidak akan menyebabkan kerajaan jatuh, sebaliknya punca utama adalah akibat amalan rasuah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata belum pernah tercatat dalam sejarah dunia mengenai tumbangnya sesebuah kerajaan kerana memperuntukkan perbelanjaan besar untuk kepentingan rakyat.

“Saya tak pernah baca atau ada sejarah dunia sama ada sejarah Islam, China purba, India, Arab atau Amerika Latin bahawa ada kerajaan jatuh kerana belanja banyak untuk tolong rakyat miskin.

“Belum pernah tercatat dalam sejarah ada mana-mana pemerintah itu kalah atau jatuh kerana membantu rakyat miskin atau menaikkan gaji yang sepatutnya dengan bagi upah yang adil.

“Kerajaan jatuh kerana rasuah, penyelewengan tamak haloba, pimpinan kaut harta yang bukan hak mereka. Itu yang menyebabkan negara tumbang,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Residensi Madani Putrajaya di sini hari ini.

Anwar berkata langkah menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025 merupakan tekad politik yang jelas menggambarkan keseriusan kerajaan terhadap aspek kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata kerajaan turut menumpukan aspek pembinaan rumah mampu milik, yang mampu dimiliki golongan berpendapatan sederhana dan rendah di negara ini.

“Ini merupakan satu usaha kerajaan membantu golongan sasar untuk memiliki kediaman yang selesa, persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera serta menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri,” katanya.

Justeru Anwar menggesa semua pihak pemaju yang terlibat agar menyiapkan projek dengan segera mengikut tempoh masa yang ditetapkan namun tetap mengutamakan aspek kualiti serta mutu rumah yang disiapkan.

“Saya harap jangan ada yang melewat-lewatkan (projek), melambatkan tiga bulan, enam bulan. Ini mendera rakyat yang menunggu hingga menyebabkan kos (pembinaan) meningkat.

“Jadi pastikan pengawasannya, kecepatan pelaksanaan projek dan kalau ada apa-apa masalah dari sudut kerenah birokrasi, selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Pada majlis itu 4,000 unit Residensi Madani Putrajaya dilancarkan dengan harga serendah RM200,000 seunit, yang dijangka siap dibina menjelang 2028.

Terdapat tujuh projek pembangunan kediaman mampu milik iaitu Residensi Madani Sentral, Residensi Madani Serunai, Residensi Madani Cemara, Residensi Madani Cengkih, Residensi Madani Cempaka, Residensi Madani Mawar dan Residensi Madani Melur.

Berkeluasan 800 kaki persegi, pelbagai kemudahan awam turut disediakan dalam plot pembangunan itu antaranya surau, dewan serbaguna, tadika, ruang niaga, taman permainan kanak-kanak dan parkir berbumbung.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata sehingga kini kira-kira 10,000 permohonan telah diterima daripada golongan sasar iaitu penjawat awam dan orang awam.

“Permintaan kepada residensi ini agak tinggi, tapisan akan dilaksanakan dan mana yang benar-benar layak sahaja akan ditawarkan,” katanya. – 28 Oktober, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Malaysia sees 11.1% increase in crime rate, with property offences and assaults leading the rise

The latest report reveals a spike in property crimes and assaults, while homicides and kidnapping cases show signs of improvement

◉ Related