◉ HEADLINES

Separuh abad beroperasi guna logo halal tidak sah, restoran dikompaun

Hasil semakan juga mendapati premis itu pernah memohon sijil halal pada 2011, namun tidak diluluskan

6:46 PM MYT

 

KOTA BHARU – Sebuah restoran di sini yang telah beroperasi sejak lebih separuh abad dikompaun kerana menggunakan logo halal tidak sah.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata tindakan itu susulan pemeriksaan pihaknya di premis berkenaan pada 12.30 tengah hari semalam yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.

Beliau berkata premis itu yang terletak di bandar ini didapati mempamerkan logo halal tanpa sijil sah yang menyalahi Perintah 8 (a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Hasil semakan juga mendapati premis itu pernah memohon sijil halal pada 2011, namun tidak diluluskan. Selain itu, KPDN turut merampas salinan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen pihak berkuasa tempatan serta dua unit gegantung pelekat tertera logo halal dan dua unit papan tanda kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

“Jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – 19 November, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related