◉ HEADLINES

Hari Belia Negara: Bangunkan demokrasi pelbagai kaum dan moderat – Saifuddin Abdullah

Mantan presiden MBM menekankan kepentingan belia dalam pembangun politik, dan menyatakan bahawa kita perlu berada di pertengahan dan tidak berada di sisi yang ekstrim, sama ada terlalu kiri ataupun kanan

10:20 AM MYT

 

TARIKH 15 Mei disambut setiap tahun sebagai Hari Belia Negara. Ia bertujuan mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara. Kali ini, sambutan rasminya ialah pada bulan hadapan.  

Belia berperanan penting dalam pelbagai bidang pembangunan melalui beribu-ribu organisasi sukarelanya yang pelbagai jenis/bentuk (badan-badan uniform, sosio-ekonomi, agama) dan peringkat (dari sekolah, IPT hingga antarabangsa). 

Badan gabungan/induk kebangsaannya ialah Majlis Belia Malaysia (MBM) yang ditubuhkan pada 1948, iaitu sebelum penubuhan Kementerian Belia dan Sukan pada 1964.  

Gerakan belia amat signifikan dalam pembangunan politik. Hampir setiap kabinet persekutuan dan negeri-negeri, parti-parti politik dan sebagainya, punya mereka yang lahir dari MBM.  

Keluarga besar MBM menyediakan gelanggang latihan untuk “aktivis politik” yang kemudiannya menjadi “ahli politik berorientasi-aktivis”. Keunikan amalan politik MBM ialah ekosistemnya, iaitu keanggotaan, kepimpinan, penyertaan, dasar-dasar, program-program dan advokasinya berciri pelbagai-kaum dan moderat.  

Pada saya, ini menjadikan MBM sekolah politik Malaysia yang ampuh, khususnya dalam membangun demokrasi pelbagai kaum dan moderat, iaitu manhaj (cara) Demokrasi Malaysia yang tepat.  

Dari segi Demokrasi Pelbagai Kaum, oleh kerana Malaysia negara majmuk, maka, kita berpeluang mengamalkan ajaran al-Quran, iaitu lita’arafu (saling mengenali, mengapresiasi dan bekerjasama) dan rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk semua).

Kita mesti mengukuhkan perpaduan yang komprehensif, meningkatkan inklusiviti yang substantif dan membasmi diskriminasi kaum.   

Manakala dari segi Demokrasi Moderat, kita berpeluang mengamalkan ajaran al-Quran, iaitu wasatiyyah (justly balanced, moderation, kesederhanaan, pertengahan) dan menolak sebarang bentuk ekstrimisme. 

Kita mesti berada di pertengahan (centrist), atau bergerak kearah itu, dan tidak berada di sisi yang ekstrim, iaitu faham politik terlalu kiri ataupun kanan. 

Untuk merealisasikan demokrasi yang lebih matang ini, kita memerlukan ekosistem politik yang baru dan segar. Kerangka lama, contohnya, consociationalism (percaturan oleh elit politik) versi BN telah ditolak.   

Untuk bergerak kehadapan, saya mencadangkan kerangka centripetalism (kerjasama semua pihak di pertengahan dan centrist). Dalam hal ini, ia melibatkan tiga insentif, iaitu dari segi pilihan raya, perundingan dan parti politik.  

Pertama, “insentif pilihan raya”, ialah keadaan di mana ahli-ahli politik berbicara bersama rakyat dan berkempen untuk meraih undi daripada pengundi pelbagai kaum, iaitu selain daripada kaumnya sendiri sahaja. 

Ini akan menyebabkan beliau menyederhanakan seruan politiknya dengan mengetengahkan dasar-dasar dan program-program yang lebih meluas dan inklusif serta mengetepikan isu-isu yang sempit dan divisif.   

Kedua, “insentif perundingan”, ialah wujudnya pelbagai platform, contohnya, dialog, town hall dan majlis perundingan, di mana ahli-ahli politik dan semua pihak (kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil) berbincang dan membuat persefahaman-persefahaman.  

Dan ketiga, “insentif parti politik” iaitu parti-parti politik menerima keanggotaan pelbagai kaum (sebagai anggota penuh atau bersekutu; atau membentuk gabungan dengan parti yang mempunyai anggota daripada kaum-kaum lain) dan mempunyai pendirian-pendirian serta menawarkan dasar-dasar dan program-program yang berciri rentas kaum dan moderat. 

Kesimpulannya, kita perlu membangunkan pemikiran politik dan demokrasi yang lebih sesuai dan segar demi masa depan Malaysia yang lebih baik. 

Selamat menyambut Hari Belia Negara! – 15 Mei, 2025

Datuk Seri Saifuddin Abdullah adalah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan presiden Majlis Belia Malaysia

Topics

 

◉ Popular

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia suffers RM2.7bil losses from online scams in 11 months, reveals CCID

Bukit Aman’s Commercial Crime Investigation Department highlights telecommunications and e-commerce fraud as the biggest culprits in rising cybercrime figures

Thai oil giant pulls plug on Lang Lebah as Petronas-Petros feud looms large

Once dubbed Malaysia’s ‘project of the year’, Sarawak offshore project now faces an uncertain future amid budget blowouts and state-federal oil disputes with US$1 billion cost overrun

◉ Related