◉ HEADLINES

MCMC siasat individu papar ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap

Menurut MCMC sebuah telefon bimbit turut disita bagi membantu siasatan dan individu-individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu

7:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan seorang individu hari ini susulan satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, siasatan terhadap individu berkenaan dimulakan susulan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam.

Menurutnya, sebuah telefon bimbit turut disita bagi membantu siasatan dan individu-individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya hari ini.

MCMC turut menyeru pengguna media sosial agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan penjana kandungan digital.

“Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan.

“Penggunaan ilustrasi yang tidak tepat, khususnya di platform dalam talian, boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam,” katanya.

Tambahnya, amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta secara teliti adalah amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.

Sebelum ini, PAS Terengganu dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.

Sekretariat program memaklumkan, pihaknya menarik semula penggunaan logo itu dan mengeluarkan versi baharu. – 15 Mei, 2025

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

◉ Related