◉ HEADLINES

Pempengaruh permotoran hilang, kereta terjunam ke sungai

Kali terakhir mangsa bertemu adiknya pada jam 2 petang kelmarin

10:01 AM MYT

 

MUAR – Kehilangan seorang pempengaruh permotoran yang kenderaannya ditemui terjunam ke dalam Sungai Tui di Jalan Bukit Kepong di sini petang tadi, pada awalnya disangkakan gurauan oleh keluarga.

Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dilaporkan hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya ditemui di dasar sungai.

Bagaimanapun mangsa tidak berada di dalam kenderaan.

Adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, memberitahu abangnya dikenali sebagai orang yang suka bergurau dan membuat kejutan.

“Kami pada awalnya menyangka dia hanya bergurau seperti sebelum ini namun mulai risau apabila tidak dapat mengesannya dan lokasi kereta ditemui pula tidak jauh daripada tempat kami terakhir bertemu,” katanya memetik laporan Bernama semalam.

Beliau berkata kali terakhir dia bertemu abangnya, yang lebih dikenali sebagai Ija, adalah pada kira-kira 2 petang kelmarin selepas mereka bergerak secara berasingan dari Johor Bahru ke Muar bagi urusan perniagaan.

“Kami bertolak dari Johor Bahru menaiki kenderaan berasingan atas urusan perniagaan. Saya ke tempat lain manakala abang memaklumkan mahu ke bengkel kawannya di Parit Jawa.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga bahawa kali terakhir mereka berhubung dengannya adalah sekitar pukul 4 petang namun selepas itu dia gagal dihubungi sehingga malam,” katanya.

Tengku Abdul Aziz berkata dia dan kakak iparnya turut menghubungi pemilik bengkel tersebut namun dimaklumkan abangnya tidak datang ke situ seperti yang dirancang.

Terdahulu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Penguasa Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan kenderaan tersebut pada 3.22 petang tadi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata usaha mencari mangsa dengan bantuan JBPM terus giat dijalankan.

Pihak berkuasa juga sedang dalam proses menaikkan kenderaan itu dari Sungai Tui.

Polis turut meminta saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan. – 16 Julai, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

◉ Related