◉ HEADLINES

Pengeluaran simpanan KWSP: Tak wajar bersifat mandatori, kata Mohd Shahar

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata jika cadangan anuiti bulanan mahu diperluas atau dijadikan laluan utama, ia mesti dilindungi daripada susut nilai akibat inflasi

5:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengeluaran simpanan persaraan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak sepatutnya bersifat mandatori, terutama apabila opsyen anuiti sudah sedia wujud dalam kerangka KWSP, tegas Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar).

Beliau berkata, jika cadangan anuiti bulanan mahu diperluas atau dijadikan laluan utama, ia mesti dilindungi daripada susut nilai akibat inflasi.

“Ini bermakna struktur bayaran pencen bulanan itu perlu disemak secara berkala dan ditingkatkan seiring kos sara hidup semasa.

“Justeru, saya berharap kerajaan akan mengambil pendekatan berperingkat, fleksibel dan berteraskan pilihan serta memastikan sebarang skim baharu benar-benar memberi perlindungan jangka panjang yang efektif kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini, lapor BH.

Kerajaan, sebelum ini di bawah RMK13 dilaporkan mempertimbang untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahli KWSP.

Dalam laporan RMK13 yang diterbitkan Kementerian Ekonomi 1 Ogos lalu, kerajaan mempertimbang untuk meneroka satu mekanisme lebih baik bagi menjamin pendapatan yang berterusan selepas bersara, yang akan membolehkan pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.

Menerusi mekanisme itu, golongan pekerja akan dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan, selain menerima pencen bulanan pada umur persaraan.

Dalam pada itu, Mohd Shahar yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mencadangkan supaya penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) disemak semula daripada setiap tiga bulan kepada setiap bulan atau setiap dua minggu.

Mekanisme seumpama itu katanya, sudah dilaksanakan di India, dengan kekerapan bayaran yang berbeza, iaitu secara bulanan seperti pencen warga emas, tiga kali setahun bagi petani melalui PM-Kisan dan dua kali setahun untuk wanita di bawah skim negeri, seperti Subhadra Yojana.

“Langkah ini dapat membantu rakyat mengurus perbelanjaan dengan lebih baik dan mengecilkan ruang untuk mereka berhutang dengan skim tidak terkawal serta mengelakkan lonjakan perbelanjaan berkala dan kecenderungan perbelanjaan tidak terkawal pada tempoh tertentu,” katanya.

Mohd Shahar turut mengesyorkan agar senarai barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disemak semula.

Menurutnya keutamaan wajar diberikan kepada makanan sihat, seperti ayam, ikan, buah dan sayuran segar, selain mengurangkan makanan berproses, termasuk yang mempunyai kandungan garam dan gula yang tinggi.

“Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan kadar bantut dan susut kanak-kanak di Malaysia masih tinggi, masing-masing 21% dan 11%.

“Program SARA ini juga wajar diselaraskan dengan kempen pemakanan sihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) supaya bantuan bukan saja mengenyangkan tetapi turut menyihatkan.

“Ini penting bagi menjamin pembangunan kesihatan jangka panjang, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar,” tegasnya lagi. – 4 Ogos, 2025

Topics

 

◉ Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related