◉ HEADLINES

‘Kalau Kerajaan Persekutuan, setengah mati kita kena pukul’ PM sindir pembangkang senyap isu tarif air

Disebabkan tarif air adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, maka pembangkang tidak menjadikannya sebagai isu sedangkan kenaikan tarif elektrik dan penyelarasan subsidi juga untuk keperluan rakyat

1:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir sikap ‘double standard’ pembangkang yang senyap dalam isu kenaikan tarif air disebabkan empat negeri di bawah pentadbiran mereka turut mengalami kenaikan.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, jika kenaikan tersebut diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan sudah pasti akan diserang.

Namun katanya, disebabkan tarif air adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, maka pembangkang tidak menjadikannya sebagai isu sedangkan kenaikan tarif elektrik dan penyelarasan subsidi minyak juga untuk keperluan rakyat.

“Oleh kerana (tarif) air dinaikkan kerajaan negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, maka ia tak jadi isu lah. Cuba kata (tarif) dinaik oleh Kerajaan Persekutuan, setengah mati kita kena pukul.

“Yang nyata, saya sebagai yang bertanggungjawab saya tiada halangan naik kerana ada keperluan. Sama jugak seperti subsidi tapi kenapa ‘double standard’.

“Penyelarasan subsidi untuk orang asing kita naikkan, untuk rakyat kita turunkan. Untuk bil elektrik, bagi orang kaya kita naikkan, untuk rakyat kita turunkan.

“Mengapa diserang, padahal untuk semua orang, untuk rakyat dinaikkan, melainkan di Selangor, kerana tidak naikkan kadar untuk B40,’’ katanya pada sesi soal jawab Perdana Menteri di Parlimen hari ini.

Bermula 1 Ogos ini, kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia akan mengalami kenaikan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini mengesahkan menerima permohonan bagi menyemak semula kadar tarif air perkhidmatan bekalan air daripada operator perkhidatan di 10 negeri yang berada di bawah kawal selia agensi tersebut.

SPAN berkata pihaknya memberikan pertimbangan ke atas permohonan itu bagi memastikan kesejahteraan 27.2 juta pengguna diutamakan dan kemampuan operator untuk terus memberikan perkhidmatan.

Anwar berkata, meskipun kenaikan tarif air di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, beliau tiada halangan kerana ia adalah untuk keperluan rakyat.

“Bil air… kerajaan negeri kata kami tertanggung hutang dan kemudahan (prasarana) harus ditambah, tulis pada menteri minta persetujuan.

“Kita tak mau melarang, tak mau menyuruh. Tiada halangan, air bidang kuasa negeri. Oleh kerana empat negeri naik, ada negeri lain pun naik,’’ katanya. – 5 Ogos, 2025

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

National Hockey Stadium: PSM restricts concerts to just two in April to prepare for Nations Cup

The shows will help cover the refurbishment costs for the facility

◉ Related