◉ HEADLINES

Prabowo pulang awal bukan kerana ‘tersinggung’ dengan RTM

Kementerian Luar Indonesia berkata Prabowo pulang awal ke Jakarta semalam kerana ‘agenda padat domestik’

2:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono, menolak khabar angin bahawa Presiden Prabowo Subianto memendekkan lawatannya ke Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 akibat kesilapan pengulas RTM yang menyebut dirinya sebagai mantan presiden, Joko Widodo.

Beliau berkata, jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mewengkang, ada menyatakan Prabowo pulang ke Jakarta semalam kerana ‘agenda padat domestik’.

“Ia tiada kaitan langsung dengan kesilapan sebutan namanya oleh pengulas (RTM),” kata Hermono, lapor FMT.

Pada Ahad lalu, Badan Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf susulan kesilapan pengulas RTM merujuk Prabowo sebagai pendahulunya, Widodo, ketika siaran langsung liputan Sidang Kemuncak Asean ke-47, di Kuala Lumpur.

RTM berkata, pihaknya berjanji akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat disampaikan adalah tepat serta berintegriti.

The Jakarta Post melaporkan, walaupun Prabowo pada awalnya merancang hadir sepanjang tempoh sidang kemuncak tiga hari (26-28 Oktober), beliau memutuskan memendekkan lawatannya petang semalam selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan ke-26, Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga ke-28, dan majlis resepsi bagi memperingati kemasukan Timor-Leste ke rantau itu.

Sepanjang ketiadaan Prabowo, beliau diwakili beberapa menteri Kabinetnya, termasuk Menteri Luar Negeri Sugiono dan Menteri Penyelaras Ekonomi Airlangga Hartarto.

Prabowo hadir Sidang Kemuncak Asean-AS pada Ahad, di mana Presiden AS Donald Trump sekali lagi mengesahkan komitmen Washington terhadap Indo-Pasifik selepas menyatakan AS ‘100%’ menyokong Asia Tenggara.

Ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga ke-28, yang menghimpunkan negara Asean dengan China, Jepun, dan Korea Selatan, Prabowo menyeru kerjasama lebih lanjut dan meminta persaingan serantau kekal ‘konstruktif’ ketika suasana global yang tidak menentu, lapor The Jakarta Post.

Semasa pemukiman pemimpin Asean, Prabowo menyeru blok itu mengambil langkah lebih konkrit bagi menangani krisis serantau, termasuk krisis politik yang berterusan di Myanmar. – 28 Oktober, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related