◉ HEADLINES

Keluarga Daim dapat kebenaran mahkamah cabar tindakan SPRM beku akaun

Mahkamah Tinggi mendapati permohonan keluarga itu melepasi ambang (threshold) diperuntukkan untuk membenarkan semakan kehakiman

5:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keluarga mantan Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini hari ini, untuk memulakan semakan kehakiman mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku dan menyita akaun bank mereka.

Perkara itu diputuskan hakim, Datuk Aliza Sulaiman selepas membenarkan permohonan keluarga Daim.

“Mahkamah berpuas hati bahawa pemohon telah melepasi ambang yang diperuntukkan atau ‘threshold’ yang mewajarkan permohonan ini dibenarkan,” katanya yang turut menetapkan 19 November ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Pemohon diwakili peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizzah Azizan bertindak bagi pihak kerajaan dan lima yang lain sebagai responden.

Aliza berkata pemohon menunjukkan bahawa SPRM meneruskan tindakan penyitaan walaupun menyedari tempoh dibenarkan di bawah Akta SPRM 2009 telah tamat, dan tiada kertas siasatan dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Beliau menegaskan bahawa tindakan menggunakan peruntukan Amla selepas tamat tempoh penyitaan di bawah Akta SPRM menimbulkan persoalan serius mengenai kesahihan dan niat baik.

Katanya, mahkamah berpuas hati bahawa pemohon memenuhi ambang prima facie yang kukuh untuk membolehkan tindakan SPRM disemak secara kehakiman.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan keluarga tersebut untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap SPRM.

Pemohon terdiri daripada balu Allahyarham Daim, Naimah Khalid, dan empat anak mereka iaitu Asnida, Wira Dani, Amir dan Amin. Sejumlah 18 syarikat yang dikaitkan dengan mereka turut dinamakan sebagai pemohon, termasuk Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Responden ialah Penolong Penguasa Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Aset SPRM, Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki; SPRM; Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 6 Jun 2024, keluarga Allahyarham Daim memohon untuk membatalkan tindakan SPRM menyita dan membekukan aset alih mereka di bawah Seksyen 50 Amla.

Turut dimohon adalah perisytiharan bahawa perintah pembekuan ke atas akaun bank mereka, serta semua tindakan dan keputusan yang diambil oleh responden, adalah tidak sah dan terbatal. – 5 November, 2025

Topics

 

◉ Hangat

AFC confident ACLE fixtures will be completed despite regional disruptions

The Asian Football Confederation is closely monitoring scheduling challenges caused by regional conflicts but remains confident that all AFC Champions League Elite fixtures will be completed, with only match dates likely to change while the final venue in Jeddah stays the same

Best results since 2013: SPM 2024 shows improvement across the board

14,179 students scored straight A’s, significantly increasing from 11,713 last year and highest number in over a decade

Khazanah: A pattern of liquidation after a series of failed investments

With one failed investment after another, a disturbing pattern seems to emerge with Khazanah rather going into liquidation than fulfilling its contractual obligations.

◉ Related