◉ HEADLINES

Pegawai keluarkan surat mohon pertimbangan wajar ditegur, bukan dipecat: PM

Perdana Menteri berkata menjadi satu kesalahan apabila mereka mengeluarkan surat berbentuk sokongan atau meminta kelulusan bagi pihak tertentu untuk sesuatu projek

1:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pegawai kerajaan yang mengeluarkan surat bagi memohon pertimbangan atau perhatian wajar diberikan teguran namun tidak sehingga dikenakan tindakan pemecatan.

Bagaimanapun, beliau berkata ia menjadi satu kesalahan apabila mereka mengeluarkan surat berbentuk sokongan atau meminta kelulusan bagi pihak tertentu untuk sesuatu projek.

“Memang saya telah menyatakan bahawa saya tidak setuju bentuk surat sokongan ini, cuma kita harus bezakan… sepertimana dizahirkan baru-baru ini, kes termasuk pegawai di pejabat saya, senarai enam syarikat kemudian minta dipertimbangkan, jadi wajar diberi teguran.

“…tetapi apakah harus dipecat?… kerana surat menyebut ‘sila pertimbangkan’, bukan syor meluluskan…  kemudian dibangkitkan lagi, seorang pegawai saya di Kementerian Kewangan yang menyebut surat itu ‘dipanjangkan’.

“Ada saya pergi mana-mana daerah, pergi mana-mana negeri, orang hantar surat kepada saya, saya tulis ‘sila teliti’ tetapi yang tidak boleh adalah ‘menyokong’ atau meminta supaya syarikat itu diberikan kelulusan,” kata Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang ingin tahu adakah kerajaan akan melaksanakan audit dalaman terhadap pegawai-pegawai menteri susulan teguran Perdana Menteri agar pemantauan terhadap pegawai dilaksanakan dengan lebih tegas.

Anwar turut menarik perhatian mesyuarat Dewan Rakyat mengenai contoh surat yang menyalahi peraturan dari Kelantan dan Terengganu.

“Dalam kes surat, saya nak sebut kalau minta dipanjangkan… surat orang hantar kita kena rujuk, takkan kita nak simpan, dipanjangkan, diminta teliti tetapi yang tidak boleh adalah minta lulus… ini dibuat oleh kerajaan Kelantan dan Terengganu,” kata beliau.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata tatakelakuan pegawai kerajaan dipantau melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia, Tatakelakuan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam selain pelaksanaan audit dalaman.

Anwar turut mengulangi kenyataan bahawa semua dakwaan salah guna kuasa dan rasuah diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

Perdana Menteri turut mengkritik sikap pembangkang yang seolah-olah tidak berpuas hati terhadap siasatan SPRM yang dijalankan ke atas bekas Setiausaha Politik Kanan beliau Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Dalam kes yang sekarang disiasat SPRM cuba lihat, hendak suruh buat apa lagi? Orang itu digari dengan (memakai) baju oren. Saya rasa banyak kes berat yang lain tidak digari pun.

“Tidak puas hati lagi ke? Jadi, rasa setakat itu dan saya tidak tegur sepatah pun kepada SPRM. Saya sudah beritahu, dia (SPRM) bebas untuk siasat, dia siasatlah,” kata beliau.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Kerajaan MADANI dengan tekad politik dan kesungguhan untuk membanteras rasuah melibatkan kerjasama agensi seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia telah berupaya mengembalikan hasil negara berjumlah RM15.5 bilion.

“Ini adalah tindakan terhadap gejala sindiket yang berlaku dan berlanjutan selama puluhan tahun… ramai yang menyaksikan tetapi tindakan hanya dapat diambil kerana ada tekad politik dan kesungguhan melaksanakan,” kata beliau. – 2 Disember, 2025

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

◉ Related