◉ HEADLINES

Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tahun depan, bezakan pemberi maklumat dengan penyamun, perasuah: PM

Perlindungan tidak wajar diberikan secara membuta tuli sehingga menjadikan penjenayah atau perasuah diangkat sebagai ‘wira’ semata-mata kerana mereka membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan serius

12:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentang di Dewan Rakyat tahun depan bagi membezakan antara pemberi maklumat dengan penjenayah atau perasuah yang sebelum ini berlindung di bawah akta itu.

Ini kerana, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlindungan itu tidak wajar diberikan secara membuta tuli sehingga menjadikan penjenayah atau perasuah diangkat sebagai ‘wira’ semata-mata kerana mereka membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan serius.

Pindaan itu, kata beliau, juga penting bagi menutup sebarang kelompongan yang boleh disalahgunakan, khususnya oleh perasuah atau penjenayah tegar yang mendakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada penyamun atau perasuah tegar yang cuba bersembunyi atas nama whistleblower (pemberi maklumat). Ini dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas,” katanya, lapor Bernama.

Anwar berkata demikian pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara pagi ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali mengenai langkah kerajaan dalam memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anwar berkata prinsip “tiada siapa kebal di sisi undang-undang” akan terus diterapkan tanpa kompromi, termasuk terhadap individu berpengaruh atau berkedudukan tinggi.

Sambil mengakui wujud budaya dalam kalangan sesetengah pihak cenderung membela individu yang mengaku terlibat dalam rasuah atas alasan kononnya memberi pendedahan, jelasnya, perlindungan terhadap pemberi maklumat kekal terjamin termasuk aspek keselamatan diri serta keluarga mereka.

“Melindungi pemberi maklumat ini bukan sahaja bermakna mereka tidak diambil tindakan, tetapi juga keselamatan mereka dan keluarga mereka dikawal supaya tidak dizalimi oleh penjenayah,” kata beliau.

Menurut Anwar, menteri yang dipertanggungjawabkan sedang meneliti perkara berkenaan dan kerajaan bersedia membentangkan pindaan akta itu pada awal tahun depan.

Tegasnya, ia bagi menetapkan definisi, kaedah dan mekanisme lebih jelas supaya perlindungan pemberi maklumat tidak terus disalahgunakan dan kekal berfungsi sebagai instrumen penting memperkukuh integriti negara. – 16 Disember, 2025

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

◉ Related