◉ HEADLINES

Tindakan undang-undang jika beri maklumat palsu STR: MOT

Kerajaan berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan dalam permohonan

9:19 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOT) memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil sekiranya wujud maklumat palsu dan atau tidak tepat dalam permohonan sebarang bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

MOT dalam kenyataannya memaklumkan, kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan justeru semua pemohon bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan mereka.

“Kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan seperti yang ditetapkan dan selaras dengan amalan terbaik bagi pelaksanaan program bantuan sosial, setiap permohonan turut melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi Kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon.

“Bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,’’ katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung dakwaan seorang individu yang layak menerima bantuan STR walaupun mempunyai enam rumah yang dijadikan sebagai rumah sewa, menjadikan pendapatannya melebihi kelayakan STR.

Perkara ini mencetuskan kemarahan ramai kerana selain menafikan hak pemohon yang layak, ia juga merupakan satu penipuan.

Sementara itu, MOT berkata, STR Fasa 1 tahun ini akan mula diberikan mulai 20 Januari dengan RM1.1 bilion diperuntukkan untuk fasa berkenaan, memanfaatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.

“Penerima akan menerima sebanyak RM100 sehingga RM500, mengikut kategori kelayakan masing-masing,’’ katanya.

MOT memberitahu, lebih 8 juta rakyat layak menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara bulanan, termasuk 400,000 daripada kalangan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih, menjadikan SARA sebagai bentuk bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat.

STR, katanya, diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih.

“Pendekatan bersepadu ini memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberi ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan.

“Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan,’’ katanya. – 15 Januari, 2026

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

National Hockey Stadium: PSM restricts concerts to just two in April to prepare for Nations Cup

The shows will help cover the refurbishment costs for the facility

◉ Related