◉ HEADLINES

Abdul Khalib digugurkan sebagai Ketua Bersatu Pahang

Penyingkiran ini dipercayai rentetan daripada tindakan beliau yang dikaitkan menyokong bekas Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin

9:46 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Gelombang perubahan dalam Bersatu terus memuncak apabila Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah, secara rasmi mengesahkan khidmatnya sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang telah ditamatkan.

Langkah drastik ini dilihat sebagai sebahagian daripada “pembersihan” dalaman parti selepas Abdul Khalib dikaitkan dengan kem sokongan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang dipecat Februari lalu.

Abdul Khalib mendedahkan bahawa surat rasmi daripada pejabat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah diterima pada 7 April lalu, namun tarikh penamatannya telah ditetapkan lebih awal.

“Ya… betul… saya mendapat surat daripada Tan Sri Presiden, penamatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Pahang. Sebenarnya, mengikut surat yang saya terima, penamatan jawatan saya berkuat kuasa pada 10 Mac 2026,” katanya lapor Malaysiakini.

Walaupun jawatan strategik itu ditarik balik, Abdul Khalib menyifatkan ia sebagai hak mutlak Presiden parti dan menerima keputusan tersebut tanpa bantahan. Beliau turut mengakui kemungkinan wujud kaitan antara penamatannya dengan sokongan terbuka beliau terhadap Hamzah Zainudin.

“Pelantikan sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri ini hak prerogatif presiden, jadi presiden berhak untuk melantik sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai,” jelas beliau.

Mengenai statusnya dalam parti, Abdul Khalib menegaskan beliau masih ahli Bersatu, tidak dipecat, cuma ditamatkan sebagai Ketua Bersatu Pahang.

“Ia tidak menjejaskan PN Pahang secara umumnya… PN Pahang tidak ada masalah, yang ada masalah Bersatu.”

Nama Abdul Khalib merupakan antara 18 Ahli Parlimen Bersatu yang berada dalam “radar” parti kerana didakwa menyokong Hamzah Zainudin. Senarai tersebut turut melibatkan nama-nama besar seperti Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), dan Wan Ahmad Fayhsal (Machang).

Abdul Khalib sebelum ini dilantik menerajui Bersatu Pahang pada Februari 2025 bagi menggantikan Datuk Seri Saifuddin Abdullah. Dengan pengguguran ini, status kepimpinan Bersatu di Pahang kini menjadi tanda tanya memandangkan beliau memaklumkan tiada sebarang pelantikan baharu atau pemangku dibuat setakat ini.

Setakat ini, Bersatu hanya mempunyai dua lagi wakil rakyat di negeri Pahang iaitu Datuk Jasri Jamaludin (Adun Kuala Sentul) dan Mohd Yazid Mohd Yunus (Adun Lepar). – 16 April, 2026

Topics

 

◉ Hangat

PKR wants Aminuddin Harun retained as Negri MB: Anwar

PKR wants Datuk Seri Aminuddin Harun to be retained as Negri Sembilan Menteri Besar if the Pakatan Harapan-Barisan Nasional alliance wins the state elections next month.

Testing secrets, or trade restraint? Dispute over oilfield tech ends with quiet withdrawal

Intertek’s Malaysian unit alleged ex-staff misused proprietary water monitoring system, but defendants argued “Sidestream” method was common industry practice

Malaysia’s median wage hits RM2,864 in September 2025, youth wages see biggest jump: DOSM

Formal employee wages rise by 4.3%, with significant growth across age groups and sectors

◉ Related