◉ HEADLINES

Op Toyu: Pegawai kanan imigresen antara 10 ditahan, negara ketirisan RM4.1 juta

JIM bongkar sindiket seludup migran di Bukit Kayu Hitam; pegawai kanan dipercayai jadi pemudah cara dengan bayaran RM400 setiap passport

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan jabatan itu dalam operasi khas Op Toyu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi bermula 12.50 tengah hari itu digerakkan hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Kedah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

“Antara yang ditahan ialah seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand dipercayai ‘ejen’ dikenali sebagai ‘Toyu’ yang mengatur kemasukan warga asing, serta seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’.

“Turut ditahan lima lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan dan seorang pegawai kanan JIM yang dipercayai berperanan sebagai ‘pemudah cara’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata semakan awal mendapati seorang warga India yang ditahan merupakan individu disenaraihitam, manakala warga Pakistan menggunakan e-visa dipercayai palsu, sementara yang lain adalah imigran larangan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa menyita lima pasport India, satu pasport Pakistan, pas sempadan Malaysia dan Thailand, cap keselamatan imigresen, 12 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah INR30,000. Turut dirampas sebuah Nissan Sentra dan dua motosikal Honda Wave serta Honda EX5.

“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk warga asing, khususnya dari India, melalui pintu masuk darat secara terancang dengan bantuan ‘transporter’ yang menyamar sebagai pemandu teksi, sebelum pegawai terlibat menurunkan endorsement walaupun tidak memenuhi syarat.

“Sindiket itu mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap individu, dengan RM400 disalurkan kepada pegawai bagi setiap pasport, dan dipercayai beroperasi sejak awal tahun sehingga menyebabkan ketirisan hasil negara dianggarkan RM4.1 juta,” katanya.

Beliau berkata dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Thailand ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala seorang lelaki tempatan ditahan di bawah Seksyen 26J ATIPSOM.

“Seramai lima lelaki warganegara India pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang lelaki warga Pakistan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan lanjut dan seramai dua lelaki dan dua perempuan warga tempatan telah dikeluarkan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.

Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran termasuk pegawainya, bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara. – 26 April, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Harimau Malaya’s wage disparities: a closer look at local vs naturalised player income divide

Salaries for footballers have become a hot topic in the Malaysian football community, as foreign players consistently earn more than local players in their respective clubs.

Government allocates RM5.9b for AI innovation: MCMC to lead national transformation drive

Malaysia is making a major push into the artificial intelligence era, with nearly RM6 billion allocated to strengthen research, development, and innovation in emerging technologies

Could Ronaldinho lace up again? Ravenna move sparks comeback rumours

Serie C club set to clarify deal involving the former Barcelona star in Miami

◉ Related