◉ HEADLINES

Kerajaan teliti perketat undang-undang, guna teknologi pantau kecurian kabel : Loke

MOT sedang mengadakan perbincangan dengan KDN untuk memperketatkan undang-undang kecurian kabel kerana walaupun tindakan telah diambil, kegiatan kecurian kabel masih berleluasa

5:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti langkah untuk memperketatkan undang-undang berkaitan kecurian kabel landasan kereta api dan penggunaan teknologi pemantauan bagi menangani kegiatan berkenaan yang semakin berleluasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya kini sedang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperketatkan undang-undang itu kerana walaupun tindakan telah diambil terhadap kes-kes tersebut, kegiatan kecurian kabel masih berleluasa.

Jelasnya, kes kecurian kabel menjadi cabaran besar kepada Kementerian Pengangkutan memandangkan harga tembaga yang tinggi dipercayai menjadi pendorong kepada kegiatan itu, selain rangkaian rel negara yang menjangkau kira-kira 1,000 kilometer, sekali gus menyukarkan pemantauan.

“Jadi untuk memantau setiap kilometer, setiap kawasan memang sukar kerana terdapat kawasan yang agak terpencil dan ini memudahkan mereka mengakses landasan kita.

“Ia tidak boleh dilihat sebagai kes kecurian biasa kerana ia mengganggu perkhidmatan kita dan boleh menjejaskan keselamatan awam.

“Ini adalah isu keselamatan negara kerana kecurian kabel ini telah menyebabkan gangguan besar kepada perkhidmatan serta membahayakan orang ramai,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin–Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di sini hari ini yang disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Loke turut memberitahu, pasukannya juga meneliti amalan serta penyelesaian yang digunakan negara lain dalam menangani isu sama memandangkan kes kecurian kabel turut berlaku di negara yang mempunyai sistem rel.

“Kes kecurian kabel bukan unik kepada Malaysia; semua negara yang mempunyai sistem rel berdepan masalah yang sama, dan memang ada negara yang mungkin mempunyai penyelesaian yang lebih baik.

“Kita sedang melihat penyelesaian yang telah dilaksanakan oleh negara-negara lain,” katanya. – 30 Mei, 2026

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

National Hockey Stadium: PSM restricts concerts to just two in April to prepare for Nations Cup

The shows will help cover the refurbishment costs for the facility

◉ Related