◉ HEADLINES

Dakwaan 30,000 pelajar masuk UA melalui ‘pintu belakang’ tuduhan berat : Zambry

Zambry berkata tuduhan sebesar ini tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang pembuktian kerana ia mencemar nama baik universiti awam

2:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan 30,000 pelajar memasuki universiti awam (UA) melalui pintu belakang adalah satu tuduhan yang berat, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurutnya, tuduhan sebesar ini tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang pembuktian kerana ia mencemar nama baik universiti awam.

Justeru, katanya, beberapa universiti awam telah mengambil langkah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kenyataan yang dikeluarkan itu.

“Apa yang dibangkitkan baru-baru ini, termasuk dakwaan bahawa antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam melalui apa yang disebut sebagai ‘pintu belakang’, serta gambaran bahawa sistem pendidikan tinggi negara sedang mengalami ‘kecelakaan’, merupakan tuduhan yang amat berat,”

“Dalam dunia akademik, angka bukan sekadar angka. Setiap angka yang disebut mesti mempunyai sumber, metodologi dan asas yang boleh disemak serta diuji kebenarannya.

“Sebaliknya, tindakan (laporan polis) ini diambil bagi memastikan setiap tuduhan yang dilemparkan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra yang juga Exco Kedah, Haim Hilman Abdullah mendakwa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) membuka pintu belakang kepada mereka yang tidak layak tetapi berduit.

Berikutan itu, Kemeterian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti tindakan serta prosedur perundangan sewajarnya terhadap Haim Hilman, susulan ucapannya yang disiarkan melalui Facebook sempena ‘Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan’ pada 13 Jun lalu.

Dalam pada itu, Haim Hilman dalam kenyataannya hari ini menegaskan beliau tidak akan menarik balik pendirian itu kerana perkara yang dibangkitkan bukan serangan terhadap UA sebaliknya menyentuh soal keadilan, ketelusan dan akses pendidikan tinggi yang adil kepada masyarakat, khususnya golongan B40 serta M40.

Haim Hilman berkata, sekiranya KPT membawa perkara itu ke mahkamah, beliau bersedia menjawabnya dengan data, fakta dan bukti.

“KPT perlu menjelaskan secara terbuka jumlah sebenar pelajar tempatan yang memasuki UA melalui saluran selain UPU setiap tahun, termasuk bilangan tempat yang ditawarkan dalam program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi dan perakaunan.

“Rakyat berhak mengetahui berapa ramai pelajar yang gagal mendapat tempat melalui UPU tetapi berjaya memasuki UA menerusi saluran terbuka dengan bayaran yuran penuh.

“Jika KPT memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, saya bersedia menjawabnya dengan data, fakta dan bukti,” katanya. – 17 Jun, 2026

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

◉ Related