◉ HEADLINES

Majlis Media Malaysia cadang RUU Jenayah Siber 2026 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

MMM mencadangkan agar Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan untuk kajian, rundingan dan perbahasan lanjut

9:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) menyokong usaha Kerajaan dalam memodenkan rangka kerja undang-undang bagi menangani jenayah siber, namun meluahkan kebimbangan terhadap skop kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan yang luas di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026.

Dalam kenyataannya, MMM menegaskan kebimbangannya tertumpu terutama kepada kuasa siasatan dan penguatkuasaan yang terkandung dalam Bahagian VII Rang Undang-Undang (RUU) tersebut.

RUU ini, katanya, mengandungi kuasa yang luas berkaitan akses kepada sistem komputer, pemeliharaan data komputer, pintasan komunikasi, pengumpulan data trafik secara masa nyata, penggeledahan dan penyitaan, serta aktiviti penyiasatan secara sulit.

“MMM amat prihatin terhadap peruntukan seperti Fasal 40, yang membenarkan pengumpulan data trafik secara masa nyata hanya dengan kebenaran Peguam Negara, di samping melarang penyedia perkhidmatan daripada mendedahkan bahawa kuasa tersebut telah dilaksanakan.

“MMM juga bimbang terhadap peruntukan lain, termasuk Fasal 38, 39 dan 41, yang membenarkan pemeliharaan, pendedahan dan pintasan komunikasi, serta dalam keadaan tertentu, akses tanpa waran kepada sistem komputer, tanpa kebenaran kehakiman terlebih dahulu,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

RUU itu, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Isnin lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bertujuan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 dengan undang-undang yang lebih menyeluruh meliputi jenayah dalam talian, penipuan digital, kecurian identiti, kandungan yang dimanipulasi serta penyalahgunaan identiti digital.

Menurut MMM, kuasa melibatkan pintasan data kandungan, pengumpulan data trafik secara masa nyata, akses kepada sistem komputer, serta langkah-langkah penyiasatan yang bersifat intrusif tertakluk kepada kelulusan kehakiman terlebih dahulu, kecuali dalam keadaan kecemasan yang ditakrifkan secara ketat, dengan semakan kehakiman dilakukan segera selepas itu.

Sehubungan itu, MMM mengenal pasti beberapa perlindungan khusus dan praktikal yang boleh menangani kebimbangannya tanpa menjejaskan objektif operasi RUU tersebut, termasuk tempoh pengekalan dan semakan yang jelas bagi data yang diperoleh di bawah kuasa ini.

Di samping itu, ambang keseriusan yang mengehadkan penggunaannya kepada kesalahan di luar konteks jenayah siber selain keperluan pelaporan berkala mengenai penggunaannya, serta perlindungan yang jelas terhadap bahan yang berpotensi mendedahkan komunikasi istimewa atau sumber kewartawanan

“Walaupun kebimbangan segera MMM adalah mengenai perlindungan sumber kewartawanan dan bahan kewartawanan, implikasi RUU ini mungkin melangkaui perkara tersebut kepada bentuk komunikasi istimewa lain yang diiktiraf, termasuk pertukaran antara peguam dan anak guam yang dilindungi oleh keistimewaan profesional guaman, komunikasi antara wartawan dan pemberi maklumat (whistleblower), serta hubungan sulit lain yang wajar dilindungi di bawah undang-undang.

‘Tanpa perlindungan berkanun yang jelas, pelaksanaan kuasa penyiasatan yang luas ini boleh memberi kesan menakutkan (chilling effect) terhadap kewartawanan siasatan, akses kepada keadilan, pendedahan maklumat oleh pemberi maklumat (whistleblowing), serta keupayaan rakyat untuk mendapatkan nasihat undang-undang secara sulit,’’ katanya.

Menurut MMM, memandangkan skop kuasa yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 serta implikasinya yang berpotensi memberi kesan kepada rakyat, perniagaan, organisasi media, pengamal undang-undang dan masyarakat sivil, terdapat keperluan untuk membolehkan perbahasan awam yang lebih menyeluruh serta penelitian oleh pakar.

Berikutan itu, MMM mencadangkan agar Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan untuk kajian, rundingan dan perbahasan lanjut.

Proses tersebut, katanya akan memberi peluang kepada Ahli Parlimen, pakar undang-undang, pakar teknologi, pengamal media, organisasi masyarakat sivil, wakil industri serta pihak berkepentingan untuk memahami dengan lebih mendalam.

Ia terutama mengenai implikasi praktikal rang undang-undang ini, mempertimbangkan penambahan perlindungan yang diperlukan, serta membantu memastikan perundangan tersebut memperoleh keyakinan awam yang meluas. – 29 Jun, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related