◉ HEADLINES

Skim Lindung 24 Jam Perkeso tidak lagi mandatori, dilaksana sukarela berkuatkuasa serta merta

Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75% bagi Lindung 24 Jam dan Jemaah Menteri hari ini memutuskan bahawa caruman tersebut tidak lagi bersifat mandatori

5:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri memutuskan caruman 0.75% daripada gaji pekerja bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksana sukarela berkuat-kuasa serta merta.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman tersebut tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.

“ Kenyataan lanjut berhubung keputusan ini akan diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma),’’ katanya.

Bermula 1 Jun lalu, Perkeso telah menguatkuasakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau turut dikenali sebagai Lindung 24 Jam di mana kadar caruman untuk skin tersebut adalah 0.75% (bagi peringkat pertama).

Inisiatif itu memperluaskan jaringan keselamatan sosial negara dengan menyediakan perlindungan di luar waktu bekerja termasuk ketika cuti umum dan hari rehat.

Caruman bagi skim Lindung 24 akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat tertakluk kepada siling gaji caruman RM6,000.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri juga meneliti isu terkini berhubung tindakan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dilengkapkan pada kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Jemaah Menteri memutuskan supaya Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway,’’ katanya.

Mengenai had umur persaraan penjawat awam, beliau memberitahu, kerajaan memutuskan tiada keperluan untuk melaksanakan peningkatan had umur.

Justeru, ujar beliau, had umur persaraan bagi penjawat awam kekal pada usia 60 tahun.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, Perdana Menteri telah meluluskan pelanjutan tempoh kelulusan pelepasan Cukai Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) untuk tempoh 10 tahun.

“Bagaimanapun, TAR UMT kekal tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa, termasuk syarat seperti mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun, selaras dengan keperluan subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967),’’ katanya. – 8 Julai, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

◉ Related