◉ HEADLINES

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Kerajaan Kedah dalam kes lesen judi

Permohonan tersebut didapati tidak memenuhi ambang diperlukan di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.

5:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu, kerana permohonan tersebut tidak memenuhi ambang diperlukan di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.

Dua hakim lain ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin, yang turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos sebanyak RM50,000.

Kerajaan Negeri Kedah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada ejen pertaruhan nombor ramalan, syarikat serta pegawai kanan mereka dalam mencabar arahan kerajaan negeri berkenaan, lapor Bernama.

Mahkamah Rayuan, menerusi keputusan majoriti pada 12 Disember 2025, memutuskan bahawa tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan adalah tidak rasional dan tidak berperlembagaan.

Dalam keputusan majoriti itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Faizah Jamaluddin berkata keputusan kerajaan negeri untuk menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan pertaruhan nombor ramalan melangkaui batas kuasa negeri yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Beliau berkata keputusan itu adalah suatu larangan di seluruh negeri yang tidak dibenarkan terhadap perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Bagaimanapun, dalam penghakiman berbeza pendapat, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi memutuskan bahawa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak memperbaharui lesen premis pertaruhan nombor ramalan merupakan perkara dasar yang tidak seharusnya dicampuri oleh mahkamah.

Beliau berkata keputusan itu melibatkan budi bicara kerajaan negeri serta pertimbangan terhadap kebajikan rakyat Kedah yang mengatasi kepentingan peribadi pengendali berkenaan.

Enam permohonan semakan kehakiman difailkan oleh ejen pertaruhan nombor ramalan, syarikat pertaruhan nombor ramalan atau pegawai kanan syarikat berkenaan bagi mencabar keputusan kerajaan negeri itu.

Pada 20 Jun 2024, Mahkamah Tinggi memberikan deklarasi bahawa keputusan Kerajaan Negeri Kedah itu adalah ultra vires (di luar kuasa) Perlembagaan Persekutuan, selain mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan tersebut serta memerintahkan supaya jumlah ganti rugi ditaksir di hadapan Timbalan Pendaftar.

Semasa prosiding di Mahkamah Persekutuan, peguam mewakili kerajaan negeri, Tan Sri Azhar Azizan Harun, memohon supaya kebenaran merayu diberikan dan mengemukakan enam persoalan undang-undang.

Beliau berkata persoalan berkenaan belum pernah diputuskan oleh mahkamah tertinggi itu dan wajar ditentukan demi kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam Brian Foong Mun Loong yang mewakili pengendali pertaruhan nombor ramalan itu berhujah bahawa kerajaan negeri gagal memenuhi syarat ambang diperlukan bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.

Pada November 2021, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bahawa kerajaan negeri akan menghentikan pembaharuan lesen pihak berkuasa tempatan bagi premis loteri mulai 1 Jan 2023 sebagai sebahagian usaha membendung gejala sosial. – 12 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

◉ Related