◉ HEADLINES

Kes gagal isytihar harta: Ismail Sabri bakal didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Selepas ditangguhkan berikutan masalah kesihatan, bekas Perdana Menteri Ke-9 bakal berdepan pertuduhan mengikut Akta SPRM di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

4:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Perkara itu disahkan oleh peguam yang mewakilinya, Datuk Amer Hamzah Arshad, ketika dihubungi media hari ini.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes terhadap Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi. Beliau dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berhubung kegagalan mematuhi notis pengisytiharan harta.

Sesi pertuduhan ini sepatutnya berlangsung pada 7 Ogos lalu. Walau bagaimanapun, prosiding terpaksa ditangguhkan selepas Ismail Sabri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah kesihatan semasa sesi rakaman percakapan bersama pihak berkuasa.

Permohonan penangguhan itu dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen berikutan keadaan kesihatan bekas perdana menteri berkenaan.

“Anak guam mengalami masalah jantung ketika rakaman percakapan dengan SPRM pada 6 Ogos lepas,” kata Amer Hamzah berhubung permohonan penangguhan prosiding sebelum ini.

Beliau menjelaskan bahawa Ismail Sabri mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata (possible arrhythmia) dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure).

Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung pengisytiharan harta. Siasatan itu turut membawa kepada siri penggeledahan di kediaman serta pejabat yang dipercayai dijadikan “rumah selamat”.

Dalam tindakan berasingan berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram yang bermula seawal Februari 2025 menerusi penahanan empat pegawai kanannya, SPRM mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta. – 26 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

◉ Related