◉ HEADLINES

Malaysia teroka kemungkinan peroleh peluru berpandu BrahMos: Anwar

BrahMos merupakan peluru berpandu krus supersonik berkuasa ramjet jarak jauh yang boleh dilancarkan dari kapal selam, kapal, pesawat pejuang atau pelancar mudah alih (TEL)

2:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia sedang meneroka kemungkinan untuk memperoleh sistem peluru berpandu udara ke permukaan BrahMos India.

Dalam satu temu bual dengan NDTV India, Perdana Menteri menekankan perbincangan  masih dijalankan walaupun tiada keputusan muktamad yang dibuat setakat ini.

Jelas beliau, perbincangan itu dibuat semasa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, namun pihak yang berhak membuat keputusan adalah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

““(Kami) telah berbincang, namun lazimnya kedudukan saya adalah melibatkan jabatan atau agensi yang berkenaan, mereka yang mempunyai kepakaran dalam tentera udara, mereka sepatutnya meneruskan perbincangan.

“Mereka telah mengadakan perbincangan awal dan saya memberitahu Perdana Menteri Modi yang saya sangat menyokong kerana hubungan ini dibina atas kepercayaan dan kami ingin mengukuhkannya dalam semua bidang,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengakui keupayaan pertahanan India.

BrahMos merupakan peluru berpandu krus supersonik berkuasa ramjet jarak jauh yang boleh dilancarkan dari kapal selam, kapal, pesawat pejuang atau pelancar mudah alih (TEL).

Ia merupakan usaha sama antara Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) India dan NPO Mashinostroyeniya Persekutuan Rusia, yang bersama-sama membentuk BrahMos Aerospace.

Perdana Menteri tiba di New Delhi pada Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan Perdana Menteri India Narendra Modi.

Hubungan diplomatik moden antara Putrajaya dan New Delhi terjalin pada 1957, tidak lama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, dan India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah USD18.55 bilion (RM79.33 bilion) pada 2025.

Lawatan kerja ini dijangka mampu terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara di samping membuka peluang baharu untuk memperluas kerjasama berimpak tinggi khususnya dalam sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan, teknologi digital serta pendidikan. – 13 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

The Formula for F1’s return to Sepang – Dr Helmy Haja Mydin

The biggest race turnout at the SIC to date is enough cause to consider a resurrection of the Malaysian GP

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Shadow AI in public sector raises questions over governance and data security – KV Soon

Concerns emerge over the use of AI agents linked to an official work email, highlighting the need for stronger oversight, accountability and safeguards

◉ Related