◉ HEADLINES

MB tiada kuasa unilateral tamat, kosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Ismail Lasim berkata persoalan sebesar itu hendaklah diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang

8:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan hari ini menegaskan kedudukan serta proses berkaitan Yang Dipertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan prinsip Raja Berperlembagaan bukan sebagai persoalan politik atau peribadi.

“Sesuatu proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan, persoalan yang perlu ditentukan adalah apakah sumber kuasa bagi proklamasi tersebut? apakah syarat dan prosedur ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh? dan sama ada kesemua syarat tersebut telah dipatuhi,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata dalam konteks Perkara 10 UUTKNS 1959, peruntukan perlembagaan menetapkan kerangka khusus berhubung tindakan terhadap kedudukan Yang Dipertuan Besar, termasuk keperluan yang berkaitan dengan proses proklamasi.

Ismail berkata penglibatan Menteri Besar dalam proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh tidak bermaksud Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri kedudukan Yang Dipertuan Besar sebaliknya apabila perlembagaan menetapkan peranan atau tindakan tertentu kepada Menteri Besar, perkara itu hendaklah dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak UUTKNS 1959.

Beliau berkata isu itu bukan mengenai pihak yang mempunyai kuasa politik yang lebih besar sebaliknya dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan perlembagaan dan undang-undang, Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh

“Isu utama ialah kesahan dan kesan undang-undang proklamasi tersebut maka isu yang wajar ditentukan ialah sumber kuasa perlembagaan bagi proklamasi, syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh UUTKNS 1959 dan adakah kesemua syarat serta prosedur tersebut dipatuhi? sehingga proklamasi tersebut mempunyai kesan undang-undang seperti didakwa,” katanya.

Beliau berkata persoalan sebesar itu hendaklah diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang.

“Menteri Besar menghormati sepenuhnya Institusi Yang Dipertuan Besar, Undang Yang Empat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Perkara yang perlu dipertahankan adalah bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya. – 15 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related