◉ HEADLINES

Dinamika politik semasa memungkinkan pelbagai penjajaran: Fahmi

Fahmi juga berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan ke arah kerjasama antara PH dan Bersatu

3:12 PM MYT

 

KUALA PILAH – Dinamika politik semasa memungkinkan berlaku pelbagai penjajaran politik, termasuk mengambil kira keunikan landskap politik setiap negeri.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkembangan politik mutakhir tidak boleh dilihat dalam satu acuan memandangkan setiap negeri mempunyai keunikan serta dinamik politik masing-masing.

“Kerana kita tahu bahawa setiap negeri mempunyai keunikan politik masing-masing. Jadi tak mustahil dinamika itu juga menjelma bagi pihak Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi 2025 di Surau Kampung Tebat Kering, Kuala Pilah, di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah Nawal Mohamed Amin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita (Bernama) Mohd Shukri Ishak serta barisan pengurusan tertinggi agensi kementerian.

Mengulas tentang kemungkinan kerjasama antara PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Fahmi berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan ke arah itu.

Semalam, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu tidak akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya dalam sebuah gabungan politik.

Dalam perkembangan lain, Menteri Komunikasi itu berkata keputusan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tertakluk di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan kuasa mutlak serta hak Yang di-Pertuan Agong.

“Pada pihak kerajaan, PH sendiri telah mengeluarkan kenyataan minggu lepas. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh yang bertanggungjawab mewakili kerajaan dalam Lembaga Pengampunan juga telah memberikan kenyataan.

“Keputusan memberikan pengampunan bersyarat itu adalah keputusan Tuanku,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara. – 20 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related