◉ HEADLINES

PRN Melaka: PH muktamad senarai calon 1 ke 2 minggu lagi, masih buka pintu buat Bersatu

Pakatan Harapan (PH) bakal melancarkan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh seminggu dua lagi, manakala pintu rundingan bersama Bersatu kekal terbuka sebelum hari penamaan calon

5:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka memuktamadkan serta mengumumkan barisan calon yang bakal menggalas cabaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persediaan jentera di peringkat akar umbi telah mula digerakkan sejak dua bulan lalu bagi memastikan gabungan itu bersiap sedia sepenuhnya menghadapi persaingan.

“Jentera kita sudah bergerak dan bersedia… cuma penyelarasan, jajaran dan kesefahaman itu sahaja belum lagi… insya-Allah, dalam masa terdekat iaitu seminggu atau dua minggu lagi kita umum calon-calon yang akan bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Tuaian Anak Harapan TAWAS (TUAH) di Pusat Konvensyen KSL di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyusul selepas PH Melaka mengesahkan pada 27 Sept lalu bahawa proses pembahagian kerusi antara parti komponen di peringkat negeri telah pun diselesaikan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebelum ini dilaporkan berkata susunan akhir pimpinan calon bagaimanapun akan diselaraskan bersama Majlis Presiden PH, pimpinan negeri, serta Amirudin sendiri selaku Pengarah Pilihan Raya.

Pintu belum ditutup buat Bersatu

Menyentuh spekulasi kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi PRN kali ini, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan pihak gabungan tidak menutup pintu rundingan sekiranya ada ruang perbincangan.

“Kalau ada ruang, kita berbincang… jika tidak, kita bersedia untuk bertanding mengikut kapasiti dan kesefahaman yang ada,” katanya.

PRN Melaka terpaksa diadakan susulan pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 Sept lepas selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. – 3 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related