◉ HEADLINES

Dua kematian dalam sekolah seminggu, Saifuddin desak Fadhlina jawab di Parlimen

Insiden kematian pelajar di Yong Peng yang menjadi tragedi kedua dalam tempoh seminggu mencetuskan desakan agar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tampil memberi penerangan tergempar di Dewan Rakyat esok

10:40 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendesak Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memberikan penjelasan rasmi di Dewan Rakyat berhubung isu keselamatan di sekolah yang disifatkannya kini berada pada tahap meruncing.

Desakan itu menyusul selepas satu lagi insiden duka membabitkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor, petang semalam.

Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu menzahirkan rasa amat sedih dengan tragedi berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, sambil menegaskan situasi keselamatan murid ketika ini tidak lagi boleh diterima.

“Saya mendesak menteri pendidikan memberikan sesi penerangan di Dewan Rakyat esok mengenai isu keselamatan murid di sekolah, sejurus selepas sesi jawab lisan.

“Rakyat berhak mendapat jawapan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, remaja Tingkatan Empat berkenaan ditemui meninggal dunia oleh neneknya yang hadir ke sekolah selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira jam 5.30 petang usai menghadiri kelas bimbingan.

Tragedi di Yong Peng ini merupakan kes kematian pelajar kedua di kawasan sekolah dalam tempoh hanya satu minggu.

Pada 25 September lalu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua ditemui tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Susulan insiden di Kuala Pilah itu, polis telah menahan reman suspek utama iaitu seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bermula 26 September hingga 1 Oktober, manakala seorang lagi suspek direman dari 28 September hingga 3 Oktober.

Dalam masa sama polis turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan siasatan sedang giat dijalankan. – 3 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Axelsen confirms split from wife, just over a week after World Championships withdrawal

The Dane revealed the news on social media on Tuesday evening, saying the decision to part ways was made on amicable terms

Gunung Tahan tragedy: Widow fights for answers after husband’s death

Three years after Raja Azlan Shah died on Gunung Tahan, his widow is still chasing the truth — and those she believes failed him

What if we die? Serdang Hospital heart patients see angiograms delayed one year

The hospital’s cardiology department is constantly at overcapacity, with resources pushed to the limits, and patients suffering

◉ Related