◉ HEADLINES

Tiada sebab AGC teliti semula semua kes pendakwaan: Peguam Negara

Setiap keputusan untuk pendakwaan dibuat setelah meneliti dan menimbang dengan sepenuhnya semua keterangan yang ada

3:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tiada sebab atau alasan yang munasabah untuk meneliti semula semua kes yang telah didakwa di mahkamah.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, setiap keputusan untuk pendakwaan dibuat setelah meneliti dan menimbang dengan sepenuhnya semua keterangan yang ada dan dibentangkan oleh agensi penguatkuasa serta menurut undang-undang yang berkaitan.

“Tidak terdapat sebarang campur tangan politik atau tekanan untuk memulakan apa-apa pendakwaan.

“AGC sentiasa bertindak secara bebas dan profesional, mengikut tatacara yang ditetapkan dalam memulakan pertuduhan terhadap mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendesak Peguam Negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk tujuan ditarik balik.

Desakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam yang melepas dan membebaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Mengulas lanjut, Idrus berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhyiddin hanya melibatkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, keputusan tersebut dibuat hanya berdasarkan ruang lingkup permohonan yang difailkan oleh pemohon.

“Rentetan itu, notis rayuan difailkan pihak pendakwaan untuk mencabar keesahan keputusan tersebut.

“Manakala tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 masih kekal,” katanya.

Tegas beliau, AGC memandang serius kenyataan yang cenderung menjejaskan kredibiliti jabatan tersebut.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pihak supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan atau membayangkan bahawa integriti dan kebebasan jabatan itu dikompromi oleh campur tangan politik atau pengaruh yang tidak wajar.

“AGC selanjutnya menegaskan bahawa jabatan ini bertindak secara bebas dan profesional pada setiap masa dalam menjalankan fungsinya untuk menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – 16 Ogos, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Cklamovski’s tactical gamble: Is Malaysia ready for the 3-4-3 revolution? — Sandru Narayanan

Early signs are promising, but defensive frailties could test Harimau Malaya’s adaptability

Sarawak targets 5 million visitors in 2026 with domestic push amid global headwinds

Tourism board banks on discounts, festivals, and local travel demand as geopolitical and economic pressures weigh on spending

South Africa World Cup midfielder Jayden Adams dies aged 25

South African police said an investigation had been opened after the body of a 25-year-old man found at a house in Schotschekloof, central Cape Town, on Saturday morning. The cause of death has not been confirmed

◉ Related