◉ HEADLINES

Adun Ijok turunkan poster selepas dikritik, Puad pula kata mahu belikan peti ais ‘secondhand’

Jefri turut memohon maaf di atas kesilapan teknikal yang berlaku

10:51 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok, Jefri Mejan menarik balik poster meminta sumbangan orang ramai untuk pusat khidmat masyarakatnya selepas tindakan tersebut dikecam hebat warganet.

Jefri yang juga pempengaruh TikTok dan menang atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu turut memohon maaf di atas kesilapan teknikal yang berlaku.

“Ralat. Kami di pihak Pejabat Khidmat DUN N11 Ijok menarik semula poster sumbangan. Kami mohon maaf di atas kesilapan teknikal yang terjadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook milik beliau.

Difahamkan poster tersebut sepatutnya diedarkan dalam parti sahaja dan ahli PAS digalakkan untuk berinfaq.

Bagaimanapun pengendali akaun Facebook Adun Ijok itu didakwa tersilap berkongsi poster itu di media sosial beliau.

Terdahulu, poster Adun Ijok itu dikecam orang ramai yang mempersoalkan tindakannya meminta sumbangan bagi membeli beberapa peralatan seperti set komputer, perabot, peti ais dan internet untuk kegunaan pusat khidmatnya.

Malah lebih mengejutkan, akaun bank yang digunakan untuk menyalurkan wang sumbangan orang ramai juga didakwa milik seorang guru besar di sebuah sekolah kerajaan.

Tindakan itu menyebabkan Setiausaha politik kepada Menteri Pendidikan, Atiqah Syairah Shaharuddin menghantar surat kepada unit integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyiasat perkara tersebut.

“Saya telah menerima aduan dalam laman media sosial dan beberapa saluran perhubungan berkenaan isu seorang guru besar yang menggunakan akaun peribadi beliau sebagai saluran pengumpulan dana bagi tujuan politik.

“Pembabitan pentadbir sekolah akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pembangunan dan pengurusan sekolah,” katanya dalam surat itu.

Perkara itu turut menarik perhatian Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang tidak bersetuju dengan tindakan Jefri.

Menurutnya, Adun Ijok itu sepatutnya meminta bantuan daripada golongan dermawan secara peribadi, bukannya membuat iklan untuk tatapan umum.

“Tak perlu buat iklan minta ihsan rakyat. Tidak cantik bah. Tidak wajar juga minta dana infaq untuk beli signboard (papan tanda), white board (papan putih), internet, peti ais dan komputer. Biasanya pelajar miskin minta laptop (komputer riba) dari wakil rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Puad turut menyindir tindakan tersebut dan menyatakan kesediaannya untuk membantu Jefri mendapatkan peti ais terpakai bagi kegunaan di pusat khidmat beliau.

“Apa pun saya sedia bantu YB (Yang Berhormat) untuk satu peti ais secondhand (terpakai). Pejabat saya pun pakai secondhand. Saya beli dari kedai barang secondhand Orang Asli Rengit. Dijamin baik. Boleh PM (mesej peribadi) saya YB. Free delivery (penghantaran percuma),” katanya. – 2 September, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related