◉ HEADLINES

Malaysia kekal berpendirian hak Palestin perlu dikembalikan: Zahid

Zahid turut melahirkan kebimbangan Malaysia berikutan ketegangan yang semakin memuncak di bumi Palestin yang memperlihatkan ribuan nyawa melayang

2:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pendirian dan dasar luar negara oleh Kerajaan Madani dalam konflik Palestin-Israel adalah jelas dan tidak pernah berubah iaitu perjuangan membebaskan tanah serta hak rakyat Palestin tetap menjadi tunjang keutamaan dasar luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang dirampas dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang Merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

“Pendirian lantang dan tegas Malaysia kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Perdana Menteri sendiri pada ucapan di Perhimpunan Agung PBB di New York pada 22 September lalu dengan tegas menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin,’’ katanya ketika mengemukakan usul berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Laporan agensi berita WAFA pagi tadi menyatakan sehingga kini seramai 413 penduduk Palestin terkorban manakala 2,300 orang cedera akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza, yang masuk hari kedua pada Ahad.

Angka berkenaan disahkan Kementerian Kesihatan Palestin.

Mengulas lanjut, Zahid turut melahirkan kebimbangan Malaysia berikutan ketegangan yang semakin memuncak di bumi Palestin yang memperlihatkan ribuan nyawa melayang termasuk orang awam yang tidak berdosa, bilangan kecederaan yang semakin meningkat serta kerosakan harta benda yang amat besar.

Dalam hal ini, ujarnya, Malaysia berpendirian teguh bahawa setiap konflik boleh diselesaikan di meja perundingan termasuk usaha Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan segera bagi menggesa semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran itu.

“Konflik di Palestin telah berlarutan selama 75 tahun dan selama ini rakyat Palestin menjadi mangsa kepada pendudukan haram Israel, penderitaan serta penindasan setiap hari akibat polisi kuku besi rejim zionis.

“Malangnya, masyarakat dunia khususnya pihak Barat berterusan dengan sikap acuh tidak acuh, menutup sebelah mata membenarkan kekejaman oleh rejim Israel tanpa sebarang tindakan punitif. 

“Tindakan berat sebelah ini terus menimbulkan persoalan berhubung ketidakadilan di dalam penguatkuasaan prinsip dan undang-undang antarabangsa,’’ katanya.

Justeru ujar beliau, Malaysia berharap semoga konflik yang berlaku akan dimuktamadkan dan seluruh dunia akan memainkan peranan serta tanggungjawab secara kolektif tanpa mengira apa-apa kepentingan dalam isu Palestin ini. – 9 Oktober, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

◉ Related