◉ HEADLINES

Malaysia sedar risiko lantang perjuangkan isu Palestin: Anwar

8:36 AM MYT

 

RIYADH – Malaysia menyedari dan menjangka akan ada tindak balas dari beberapa negara Barat berhubung kelantangannya dalam menyuarakan isu Palestin, namun ia akan terus memperjuangkan nasib penduduk Palestin di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tiada pilihan berhubung perkara itu kerana isu Palestin melibatkan soal kemanusiaan kerana penduduknya terus sengsara akibat penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel.

“Ya…(saya tahu) banyak risiko. Saya tidak ada pilihan (berhubung perkara ini kerana) adanya pembunuhan melibatkan nyawa anak kecil dan wanita.

“Namun, saya tidak bimbang (mengenai tindak balas itu) kerana adanya pendapat sama dari semua negara (ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Ada konsensus tentang soal kemanusiaan di Gaza,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan beliau ke Arab Saudi pada Sabtu. 

Anwar memberitahu selain membawa konflik Palestin dan Israel di pentas Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-GCC, beliau turut membincangkan perkara itu secara peribadi dengan pemimpin beberapa negara ASEAN, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, Raja Bahrain Hamad bin Isa, Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan serta Presiden Mesir Abdel Fatah El-Sisi.

“Kita tidak mahu bersendirian…Putrajaya sudah pun nyatakan pendirian. Saya percaya semua negara perlu sepakat untuk cari penyelesaian berhubung nasib penduduk Palestin,” katanya apabila ditanya sama ada Malaysia akan menghadapkan Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa bagi kezaliman yang dilakukannya ke atas Palestin.

Perdana Menteri berkata desakan untuk menghentikan kezaliman Israel perlu dilaksanakan berikutan keadaan semasa yang berlaku di Gaza dan beliau tidak boleh mengetepikan tanggungjawabnya sebagai umat Islam berhubung isu itu.

Menurutnya tekanan perlu terus dibuat kerana keengganan beberapa negara Eropah menyuarakan bantahan supaya keganasan berterusan di Gaza perlu dihentikan.

“Jika tidak dihentikan, tempiasnya akan beri kesan parah dari segi keselamatan serantau. Kita perlu mendorong penglibatan negara lain. 

“Kebimbangan kita adalah faktor kemanusiaan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh masyarakat di Palestin Gaza… (ini cubaan untuk) melumpuhkan seluruh kehidupan di situ.

“Ini boleh mengundang sikap fanatik dan pengganas. Kalau ditekan sebegitu rupa sampai tidak bernyawa, pilihan yang mereka ada ialah berjuang atau mati dan mereka memilih untuk terus berjuang,” kata beliau.

Anwar berkata beliau akan terus lantang bersuara mengenai isu Palestin atas nama kemanusiaan dan keamanan bersama dunia. – 22 Oktober, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related