◉ HEADLINES

PM mahu mutu penguasaan Bahasa Inggeris pelajar ditingkatkan mulai 2024

Usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris perlu dilaksanakan segera kerana negara maju memberi penekanan kepada soal dwibahasa

11:51 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Mutu penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu ditingkatkan mulai tahun hadapan namun Bahasa Melayu perlu dikuasai tanpa tolak ansur, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan MADANI di sini malam ini, beliau berkata usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris perlu dilaksanakan segera kerana negara maju memberi penekanan kepada soal dwibahasa.

“Bicara mutu pendidikan, Bahasa Melayu adalah bahasa utama dan mesti dikuasai tanpa tolak ansur oleh semua pelajar tetapi kita harus cuba memikirkan kaedah baharu untuk meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris

Jadi mulai tahun depan, mutu penguasaan Bahasa Inggeris harus ditingkatkan selain daripada mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu,” katanya. 

Anwar berharap usaha kerajaan untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negara ini tidak dipertikaikan.

“Kalau nak negara ini terangkat keupayaan ekonomi dan kemajuannya, Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu, bahasa utama dan dikuasai dengan baik oleh semua rakyat Malaysia termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa. 

Semua anak kita terutama di sekolah kebangsaan mesti ditekankan penambahan supaya penguasaan Bahasa Inggeris jauh lebih baik daripada sekarang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kepakaran dan latihan untuk golongan muda perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan syarikat antarabangsa yang melabur di negara ini contohnya syarikat semikonduktor Infineon Technologies (Infineon) AG dari Jerman yang memutuskan untuk melabur RM25 bilion di Malaysia. 

“Maknanya kita harus latih anak kita yang lulusan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Volasional)  dan jurutera dan lain-lain dalam bidang matematik, sains, teknologi, digital supaya dapat memenuhi keperluan syarikat itu. Kalau tidak dia akan ambil kepakaran daripada negara asing,” katanya. 

Infineon mengumumkan perancangan untuk meningkatkan kemudahannya di Kulim, Kedah bagi membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sebanyak lima bilion euro bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sejak lima dekad lepas, Infineon telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim dan melaksanakan aktiviti pembungkusan cip semikonduktor di Batu Berendam, Melaka. – 23 November, 2023

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

RM200m World Cup rights fee puts Malaysia’s 2026 viewing at risk

Malaysia could miss live coverage of the 2026 FIFA World Cup as a steep RM200 million broadcasting fee strains Astro and RTM, raising doubts over whether fans will be able to watch football’s biggest tournament

Education Ministry scraps teacher training system to lighten workload

Minister Fadhlina Sidek vows to help teachers focus on what matters most – teaching – as new curriculum changes approach

◉ Related