◉ HEADLINES

Kerjasama Umno, PAS: ‘Tidak perlu diadakan semula, ia tidak ke mana’

Puad berkata, peluang untuk kedua-dua parti berkenaan bekerjasama terlepas sejak gagalnya Muafakat Nasional

11:19 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Umno dan PAS, termasuk seperti pernah dimeterai menerusi Muafakat Nasional (MN) pada 2019, tidak perlu dibangkit atau diadakan semula kerana ia dianggap ‘sia-sia’ dan tidak akan kekal.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, malah kolaborasi itu tidak akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak memandangkan asas kerjasama terbabit adalah politik.

Katanya, peluang untuk Umno dan PAS terus bekerjasama sudah terlepas sejak MN gagal.

“Buat masa ini tidak perlu difikirkan lagi kerjasama Umno dan PAS. Ia tidak ke mana. Asasnya ialah politik. Ia tidak kekal dan tidak bermanfaat.

“Peluang itu terlepas sejak gagalnya Muafakat Nasional. Ketika itu isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom menyatukan UMNO-PAS.

“Tetapi bila faktor politik masuk ia membantut kerjasama itu,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, beliau berkata, apabila isu kerjasama itu dibangkitkan semula, ia hanya ‘marriege of convenience’ (kerjasama untuk kepentingan politik dan berlandaskan politik) kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

“Lebih baik moving forward (terus ke hadapan).

“Umno dan Kerajaan Perpaduan tumpu menyejahterakan ekonomi negara dan rakyat, manakala PN (Perikatan Nasional) jadi pembangkang yang konstruktif,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, PAS tidak menolak kerjasama dengan Umno di sebalik sejarah pahit hubungan mereka, susulan cadangan penyatuan untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya dibangkitkan Isham Jalil.

Isnin lalu, Isham dilaporkan berkata, Ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar boleh dilantik sebagai Perdana Menteri, sekiranya PN berjaya memujuk Umno bermuafakat semula sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 (PRU-16).

Mengulas cadangan itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebarang kerjasama dengan Umno perlu melalui PN.

“PAS tidak pernah mengetepikan agenda penyatuan ummah,” katanya.

Piagam MN dimeterai Umno dan PAS pada 14 September 2019, dengan antara kandungannya menyaksikan kedua-dua parti bersetuju membentuk kerjasama bagi mengembangkan naratif Islam dan Melayu.

Kerjasama itu menetapkan ia tidak akan menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Bagaimanapun, MN dianggap berkubur apabila PAS mengesahkan menjalin kerjasama dengan Bersatu dalam PN pada 13 Oktober 2022, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Keputusan PAS itu melanggar syarat ditetapkan Umno, iaitu parti berkenaan perlu meninggalkan Bersatu jika ia mahu kekal dalam MN. – 6 Disember, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related